'Doa dan solidariti, bantu kami sebar kebenaran', rayu penduduk Palestin

Madiha Abdullah
Mei 13, 2021 20:20 MYT
Ziad menggesa umat Islam bersatu dalam menyebarkan kepada dunia situasi sebenar yang sedang dihadapi rakyat Palestin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Doa dan solidariti. Itu permintaan rakyat Palestin yang kini sedang berjuang untuk meneruskan hidup di tanah tumpah darah mereka.
Pengurus Besar MyCare di Gaza, Dr Ziad Shehada berkata, situasi semakin meruncing dengan lebih 80 orang terbunuh setakat ini, namun percaya solidariti daripada masyarakat Islam mampu membantu mereka.
"Kami sangat gembira apabila mendengar solidariti daripada saudara-saudara di Malaysia. Rakyat Palestin mengikuti berita dari segenap pelusuk dunia jadi apa sahaja bentuk solidariti menggembirakan kami.
"Banyak cara untuk anda membantu kami, antaranya lakukan solat duha, minta yang baik-baik untuk kami di sini. Doa itu senjata yang sangat kuat untuk meringankan situasi kami yang sangat teruk di sini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Konflik Asia Barat | Serangan Zionis ke atas Palestin berterusan
Mengakui bantuan kewangan juga diperlukan, Ziad turut menggesa umat Islam bersatu dalam menyebarkan kepada dunia situasi sebenar yang sedang dihadapi rakyat Palestin.
"Jangan sekadar tonton berita dan tidak lakukan apa-apa. Lakukan sesuatu untuk memberitahu apa yang sedang terjadi sekarang.
"Kita tahu Israel punya propaganda yang hebat. Tetapi kita boleh lawannya dengan menyebarkan kebenaran," tambahnya.
Ditanya tentang bantuan yang diterima oleh rakyat Palestin, Ziad memaklumkan pihak MyCare sentiasa bekerjasama dengan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, baik tempatan mahupun antarabangsa, bagi memastikan bantuan yang diterima dapat diagihkan sama rata dan adil.
"Kami melakukan koordinasi dengan kerajaan, apabila kami dengar ada bangunan musnah kami akan minta maklumat tentang siapa penghuni dan pemiliknya, berapa orang tinggal di situ dan sebagainya, jadi kami tahu apa yang terjadi.
"Kami juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, kami dapat panggilan daripada mereka dan mereka akan maklumkan apa yang diperlukan sebagai contoh alat pelupusan, ubat khusus atau kelengkapan tertentu.
"Dari situ kami akan ambil tindakan dan mengatur pengagihan bantuan yang diperlukan," katanya.
Pengusiran rakyat Palestin daripada rumah mereka di Timur Baitulmaqdis dan provokasi tentera Israel di Masjid Al-Aqsa minggu lalu memaksa campur tangan Hamas dan angkatan kanannya Bridged Al-Qassam.
Ketegangan itu tidak pernah disaksikan sejak tahun 2014 dengan serangan balas berterusan antara Hamas dan Zionis Israel.
#Palestin #Gaza #Zionis #Hamas #Israel #serangan #Malaysia #MyCare
;