DJI hantar kargo di Gunung Everest guna dron

Amanz
Jun 8, 2024 10:00 MYT
Dron DJI FlyCart 30 (FC30) berjaya membawa kargo dalam bentuk tong oksigen, beg sandang dan bekalan makanan sehingga 15 kilogram. - Amanz/Agensi
SEKITAR lima tahun lalu ramai meramalkan kelak makanan dan barangan yang dipesan menerusi laman e-dagang akan dilakukan menggunakan dron.
Amazon menghasilkan dron sendiri bagi memenuhi keperluan mereka. Tetapi sehingga kini impian belum menjadi kenyataan dan abang motor masih menjadi pilihan.
DJI minggu ini mengumumkan kejayaan melakukan penghantaran pertama kargo di Gunung Everest menggunakan sebuah dron.
Dron DJI FlyCart 30 (FC30) berjaya membawa kargo dalam bentuk tong oksigen, beg sandang dan bekalan makanan sehingga 15 kilogram dari Kem Pusat Everest (EBC) ke kem C1.
Kemudian ia membawa pulang sampah kembali ke EBC.
Penggunaan dron memendekkan masa penghantaran ke 10 minit sahaja berbanding 6 hingga 8 jam menggunakan sherpa.
Ujian juga menunjukkan FC30 boleh terbang pada ketinggian antara 5,300 dan 6,000 meter yang merupakan rekod baharu untuk sebuah dron awam.
Dengan ini DJI membuktikan dron mereka boleh digunakan untuk penghantaran kargo di kawasan altitud tinggi bersuhu ekstrem dan juga boleh membantu menyelesaikan masalah lambakan sampah di Everest. - Amanz
#dron #kargo #Gunung Everest #DJI FlyCart 30
;