Dituduh jadi 'badi' dalam keluarga, ibu tergamak buang anak OKU dalam lubuk buaya
Astro Awani
Mei 12, 2024 15:21 MYT
Mei 12, 2024 15:21 MYT
BENGALURU: Sepasang suami isteri ditahan selepas didakwa membunuh anak lelaki mereka berusia 6 tahun dengan membuang mangsa ke dalam terusan yang dipenuhi buaya.
Kejadian dilaporkan berlaku minggu lalu pada Sabtu malam di Uttara Kannada, di negeri Karnataka, India.
Menurut polis tempatan, kedua-dua suspek, Savitri Kumar dan suaminya Ravi Kumar, ditangkap atas tuduhan membunuh selepas sebahagian mayat anak mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemukan keesokan harinya.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Vinod disahkan mengalami masalah pendengaran dan pertuturan, lapor media tempatan.
Menurut polis, ketika kejadian, berlaku pertengkaran di antara kedua-dua suspek di mana Ravi didakwa menyalahkan isterinya Savitri kerana melahirkan anak kurang upaya.
Tertekan dengan asakan suaminya, Savitri kemudian dipercayai terus membuang anaknya Vinod ke dalam terusan.
Jiran yang melihat kejadian terus memaklumkan perkara itu kepada polis. Pencarian awal dilakukan sebelum dihentikan pada malam kejadian.
Pencarian diteruskan pada pagi Ahad apabila polis menemukan mayat Vinod dengan beberapa kesan gigitan dan sebelah tangannya hilang.
Savitri dalam pada itu mendakwa tindakan itu dibuat selepas Ravi berterusan mendesaknya untuk membuang anaknya itu kerana kecacatannya.
"Suami saya bertanggungjawab. Dia berkata 'Biarkan (Vinod) mati'," kata Savitri kepada pemberita, lapor Outlook India.
“Jika suami saya terus mengulangi kata-kata itu, bayangkan betapa seksanya penderitaan yang ditanggung anak saya?
"Tetapi dia berulang kali menyuruh saya supaya membiarkan anak itu mati," katanya lagi.