Dituduh biayai Hamas: Qatar terkejut, nafi dakwaan Menteri Luar Israel
Agensi
Oktober 26, 2023 08:00 MYT
Oktober 26, 2023 08:00 MYT
PERDANA Menteri yang juga Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani terkejut dan menafikan dakwaan yang dibuat oleh Israel kononnya Qatar membiayai perjuangan kumpulan Hamas di Palestin.
AL-Thani merujuk pada kenyataan dibuat Eli Cohen pada mesyuarat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mana Qatar dituduh memberi dana dan memberi perlindungan kepada pemimpin Hamas.
Dalam masa sama, Al-Thani mempersoalkan bagaimana dakwaan sedemikian boleh dibuat oleh pegawai kerajaan Israel ketika Qatar sedang berunding dan berusaha membebaskan tebusan yang kini dalam tawanan Hamas.
Justeru beliau memberi amaran: “Kenyataan provokatif sedemikian hanya akan menjejaskan usaha-usaha yang sedang dilakukan selain membahayakan nyawa dan dakwaan sedemikian juga hanya boleh difahami dalam konteks pemerasan ugut politik dan propaganda.”
Perdana Menteri Qatar itu juga menyatakan harapannya semua pihak akan menghormati segala usaha yang diambil oleh negara berkenaan serta rakan-rakan strategik dan “membantu mereka dalam mencapai kejayaan.”
Untuk rekod, dalam mesyuarat peringkat tertinggi PBB pada Selasa lalu, Menteri Luar Israel menuduh Qatar membiayai dan memberi perlindungan kepada Hamas.
“Qatar yang memberi dana dan melindungi pemimpin Hamas berupaya mempengaruhi Hamas untuk membebaskan semua tebusan,” dakwa Cohen. - Agensi
#Perang Palestin-Israel
#Qatar dituduh biayai Hamas
#Menteri Luar Israel
#Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani