Ditembak lima das, PM Slovakia, Robert Fico kini sedang “bertarung nyawa”

Agensi
Mei 15, 2024 07:00 MYT
Perdana Menteri Robert Fico yang ditembak pada Khamis sedang “bertarung nyawa” ketika ini. - Gambar fail AP
BANSKA BYSTRICA: Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico yang dilaporkan ditembak pada Khamis sedang “bertarung nyawa” ketika ini, kata Menteri Pertahanan negara itu, Robert Kaliňák dalam sidang akhbar di hospital tempat Fico dirawat.
“Pembedahan itu telah berlangsung selama tiga setengah jam. Keadaan perubatannya sangat kompleks.
“Kami secara khusus memberi tumpuan kepada kesihatan Robert Fico. Dan kami berharap dia akan cukup kuat untuk mengharunginya,” kata Kaliňák.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Fico ditembak lima das, kata Menteri Dalam Negeri, Matúš Šutaj Eštok.
“Penjenayah menembak sebanyak lima das. Perdana menteri dalam keadaan kritikal. Kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk menyiasat perkara ini,” kata Eštok dalam sidang akhbar.
Sementara itu, Eštok berkata, cubaan pembunuhan ke atas Fico adalah bermotifkan politik dan maklumat itu diperoleh berdasarkan "temu bual awal dengan suspek."
“Percubaan pembunuhan ini bermotifkan politik dan suspek membuat keputusan untuk melakukannya sejurus selepas pilihan raya presiden,” jelas Eštok
"Adalah jelas ini bermotifkan politik," kata Menteri Pertahanan Kaliňák yang turut bersama dalam sidang media bersama Eštok.
Kaliňák berkata Fico, "mengalami pelbagai kecederaan," tetapi tidak memberikan sebarang butiran apabila wartawan bertanya sama ada Perdana Menteri ditembak di perut.
Dalam kejadian semalam, Fico telah diserang beberapa das tembakan menyebabkan beliau dalam keadaan kritikal. - Agensi
#PM Slovakia #Robert Fico #Robert Fico ditembak #PM Fico kritikal
;