Ditembak, dikerat, disumbat! Syurga pelancongan gempar dengan penemuan lapan mayat

Agensi
Ogos 23, 2018 20:32 MYT
Ada mayat yang sudah dikerat-kerat ditemui dalam bungkusan plastik. - Gambar fail
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), mengeluarkan nasihat perjalanan buat rakyatnya yang mahu ke Mexico selepas bandar peranginan Cancun digemparkan dengan penemuan lapan mayat.
Penduduk dan pelancong di sekitar lokasi percutian popular di zon Caribbean itu pada mulanya dikejutkan dengan penemuan dua mayat yang dikerat-kerat manakala sekurang-kurangnya tiga lagi dengan kesan tembakan.
Awal pagi Isnin lalu, mayat seorang lelaki dan wanita ditemui disumbat dalam but sebuah teksi yang ditinggalkan di sebuah kompleks beli-belah dekat Paseos del Mar.
Pemandunya dikatakan melarikan diri selepas teksi itu ditinggalkan di sebuah lot parkir. Identiti kedua-dua mayat itu belum diketahui.
Pada Selasa, satu mayat lelaki ditemui dengan kesan tembakan, manakala seorang lagi dipercayai dibunuh ketika sedang berbaring di atas buai rajut. Mayat lelaki ketiga pula ditemui dengan kesan tembakan dan dibungkus dengan plastik.
Pihak polis menemui dua lagi mayat yang sudah dikerat-kerat dalam sebuah beg plastik di sebuah lokasi lain. Mayat-mayat itu, yang belum dikenal pasti identitinya, ditemui di kawasan Rancho Viejo avenue, lapor media tempatan.
Butiran tentang pembunuhan mangsa kelapan masih disiasat.
Pihak pendakwaraya berkata, setiap insiden dipercayai kes bunuh yang berbeza namun siasatan lanjut sedang giat dijalankan.
“Kebanyakan mangsa sudahpun disasarkan, dan ia ada kaitan dengan pertembungan kumpulan-kumpulan penjenayah, dan ia terjadi di destinasi yang sering dikunjungi warganegara AS,” ujar Jabatan Negara AS pada Selasa.
Pelancong dan pengembara dinasihatkan supaya tidak memasuki negeri Colima, Guerrero, Michoacán, Sinaloa dan Tamaulipas disebabkan kes-kes tersebut.
Zon hotel di pantai Cancun bagaimanapun tidak disenaraikan memandangkan tiada pembunuhan berlaku di lokasi itu, lapor Associated Press.
Setiap tahun, jutaan pelancong asing khususnya dari AS, dan Eropah, melancong ke Cancun dan resort-resort berdekatan seperti Playa del Carmen dan Tulum.
Pada April tahun ini sahaja, sejumlah 57 pembunuhan berlaku dalam tempoh 36 jam dengan kebanyakannya mempunyai kaitan dengan geng dadah.
Sejak awal 2017, keganasan akibat pertembungan kuasa kumpulan-kumpulan dadah menghantui penduduk setempat terutamanya di Quintana Roo.
#cancun #geng dadah #kumpulan penjenayah #Mexico #pelancongan #Pembunuhan
;