Disneyland Paris sahut seruan hijau, tiada lagi penyedut minuman plastik

Agensi
April 15, 2019 07:25 MYT
Disneyland Paris yang menerima kedatangan 15 juta pengunjung setahun, menghasilkan 19 tan sisa buangan pada tahun lalu. - Reuters
Disneyland Paris pada Isnin mengumumkan beberapa langkah untuk menjadikan destinasi pelancongan swasta terbesar di Eropah itu lebih mesra alam.
AFP melaporkan antara langkah utama yang akan diambil taman tema yang terletak di timur ibu negara Perancis itu, adalah menghentikan penggunaan penyedut minuman plastik.
Ibarat sebuah bandar kecil, Disneyland Paris yang menerima kedatangan 15 juta pengunjung setahun, menghasilkan 19 tan sisa buangan pada tahun lalu.
Buat masa ini, pihak pengurusan sudah melaksanakan langkah sampingan seperti mengitar semula kertas, kaca dan 18 jenis bahan yang membentuk kira-kira separuh daripada sisa buangannya.
Menjelang tahun 2020, taman tema itu menyasarkan kadar kitar semula sebanyak 60 peratus.
Bermula Khamis ini, kesemua penyedut minuman plastik tidak lagi digunakan. Hanya apabila diminta pengunjung, ia akan digantikan dengan versi kertas mudah terbiodegradasi.
Pengumuman langkah berkenaan adalah susulan Parlimen Eropah yang pada bulan lalu meluluskan undang-undang pengharaman produk plastik kegunaan tunggal, seperti penyedut minuman, sudu dan garpu serta putik kapas menjelang tahun 2021.
Desakan tersebut tercetus seiring kesedaran tentang bahan plastik yang akhirnya akan terlepas ke laut.
Disneyland Paris, yang dimiliki The Walt Disney Company, juga mengumumkan beberapa inisiatif lain untuk menyahut seruan hijau itu.
Antaranya adalah taman itu tidak lagi akan membekalkan beg plastik, sebaliknya menjual beg pelbagai guna yang diperbuat daripada plastik kitar semula, pada harga 1 atau 2 Euro.
Bermula Jun, beberapa hotel dalam taman juga tidak lagi akan membekalkan botol-botol kecil untuk isian syampu dan gel mandian, sebaliknya akan menggunakan botol besar yang akan diisi dan digunakan semula.
Pengendali taman tersebut, Euro Disney, juga merancang untuk memasang panel solar sebagai punca bekalan kuasa.
#alam sekitar #bahan plastik kegunaan tunggal #disneyland paris #Kempen Hijau #Kesatuan Eropah #kitar semula #mesra alam #parlimen eropah #pencemaran #penyedut minuman #plastik #Taman Tema
;