Disneyland California dijangka buka semula pada Julai
Syahirah Hani Roslan
Jun 11, 2020 11:46 MYT
Jun 11, 2020 11:46 MYT
WALT Disney sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa negeri dan tempatan untuk membuka semula taman tema Disneyland Park dan Disney California Adventure Park pada 17 Julai.
Menurut laporan Reuters, taman tema yang berpusat di Anaheim, California itu terpaksa ditutup pada 14 Mac lalu sebagai langkah mengelakkan risiko penularan wabak COVID-19.
Selain itu, Disney juga bercadang untuk membuka semula Hotel dan Spa Grand Californian dan Hotel Paradise Pier pada 23 Julai.
Sebagai langkah menjaga penjarakan sosial, pengunjung The Disneyland Resort harus membuat tempahan awal kemasukan taman tema untuk mengehadkan jumlah pengunjung yang dibenarkan dalam satu masa.
Bagaimanapun, acara seperti perbarisan dan pertunjukan malam yang berpotensi menarik jumlah pengunjung yang besar dan menyebabkan kesesakan terpaksa ditangguh.
Jelas Disney lagi, pihaknya juga terpaksa menghentikan penjualan tiket murah dan pembaharuan pas masuk tahunan.
Berikutan rancangan pembukaan semula ini, The Downtown Disney District akan dibuka semula pada 9 Julai mengikut garis panduan yang ditetapkan negeri.
Pengunjung yang hadir ke taman tema mesti diambil suhu badan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk, menurut Pengerusi Eksekutif Bob Iger dalam satu temu bual pada 7 April lalu.
Bulan lepas, taman tema Disneyland di Shanghao memperlihatkan pembukaan semula yang suram dengan pengunjung yang terpaksa menjaga penjarakan sosial dan ketiadaan pertunjukan bunga api seperti kebiasaannya.
#buka semula
#California
#COVID-19
#Disney
#Disneyland
#hotel
#koronavirus
#pas masuk
#penjarakan sosial
#suhu badan
#Taman Tema
#tiket
#walt disney