'Disko Halal' yang disensasikan di Arab Saudi, ditutup pada hari pertama operasi
Agensi
Jun 17, 2019 18:31 MYT
Jun 17, 2019 18:31 MYT
Sepanjang minggu lalu, banyak portal berita dunia yang menguar-uarkan tentang Arab Saudi yang bakal memiliki sebuah kelab malam di Jeddah.
Mendapat jolokan ‘Disko Halal’, premis hiburan itu dikhabarkan membenarkan para lelaki dan wanita bercampur dan menari bersama dalam satu ruangan, selain disajikan minuman tanpa alkohol.
Perkara itu telah mendapat reaksi yang pelbagai dari seluruh dunia.
Bagaimanapun, pemerintah Arab Saudi mengambil tindakan menutup kelab bernama Project X itu pada hari pertama pembukaannya pada Khamis lalu.
Bukan sahaja ditutup, Pihak Berkuasa Hiburan Umum (GEA) juga telah membuat pemeriksaan menyeluruh.
Wakil pihak berkuasa memaklumkan, penutupan pusat hiburan itu adalah kerana ia tidak mempunyai permit operasi.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima, pihak pengurusan telah melanggar undang-undang dengan tidak mendapatkan izin operasi dari pihak berkuasa," kata kenyataan itu.
Tanpa butiran lanjut, GEA menyatakan bahawa pada awalnya, pihak pengurusan pusat itu mendapat permit untuk menjalankan ‘sesuatu yang lain’, namun akhirnya menyalahgunakannya.
Sementara media antarabangsa menggunakan istilah 'Disko Halal' dalam laporan mereka, media Arab Saudi pula menyatakan bahawa ia sebenarnya merupakan sebuah kafe mewah yang lengkap dengan pelbagai elemen persembahan hiburan aras tinggi.
Bagaimanapun, elemen hiburan itu dikatakan tidak mengikut spesifikasi permit yang sudah diluluskan.
Keinginan untuk menyaksikan sendiri suasana sebenar pusat itu telah mencetuskan sambutan yang menggalakkan sewaktu pembukaannya.
Khalayak ramai yang pada awalnya membanjiri sekitar premis itu, akhirnya diminta bersurai, manakala pihak berkuasa terus menjalankan siasatan.
Difahamkan, pembukaan kelab itu seiring dengan penganjuran sebuah festival pantai di Jeddah.
Penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Ne-Yo juga dipromosi akan membuat kemunculan.
"Saya tidak tahu apa terjadi. Saya sangat teruja untuk membuat persembahan untuk kalian, malah sedang dalam perjalanan ke sana, ketika saya menerima khabar tentang penutupannya,” ujar Ne-Yo dalam akaun Instagramnya.