Diseterika senior gara-gara enggan bersalaman
Sinar Harian
Mei 25, 2024 11:15 MYT
Mei 25, 2024 11:15 MYT
SEORANG pelajar Madrasah Tsanawiyah (MTs) di Semarang, Indonesia melecur di bahagian badannya selepas diseterika oleh senior di sekolah terbabit.
Menurut laporan media tempatan, kejadian itu berlaku disebabkan mangsa enggan bersalaman dengan pelaku selepas selesai menunaikan solat.
"Mangsa dikenali sebagai D,14 tahun, sementara pelaku yang berasal dari Bali, tua setahun daripadanya.
"Dia diseterika di bahagian dada dan lengan sebanyak tiga kali oleh pelaku ketika mereka berada di asrama sekolah," ujar polis kota Semarang, AKP Aditya Perdana
Susulan itu, pelaku kini bakal berhadapan hukuman selaras dengan undang-undang Republik Indonesia.
"Pelaku bakal didakwa di bawah Undang-Undang Keadilan Juvana kerana dia masih di peringkat bawah umur," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pendidikan Madrasah Kementerian Agama, Ahmad Faridi menyifatkan kejadian itu sebagai buli dan ia perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama dalam sektor pendidikan.
"Tindakan buli ini tidak boleh ditoleransi sama sekali, apatah lagi hingga mendatangkan kecederaan," ujarnya. - Sinar Harian/ Agensi