Disebabkan ciuman, bayi enam bulan sengsara dijangkiti virus herpes

Agensi
Mac 11, 2020 19:22 MYT
Bahagian kepala dan muka Oarlah telah menjadi bengkak selain ditumbuhi bintik-bintik merah dan putih, termasuk yang ditemui dalam mata kirinya. - Mirror
Dengan hanya satu ciuman dan melalui sentuhan, seorang bayi berusia enam bulan menderita menghidapi penyakit herpes.
Nasib malang itu terjadi pada seorang bayi, Oarlah, yang pada tubuh, kepala dan mukanya ditumbuhi bintik-bintik merah dan putih, termasuk yang ditemui dalam mata kirinya. Selain wajahnya yang bengkak, bayi itu juga mengalami selesema.
Pada awalnya, ibu kepada Oarlah, Hollie menganggap ia hanya penyakit cacar air, bagaimanapun bagi mendapatkan kepastian, dia segera membawa anaknya untuk berjumpa doktor dan kemudian disahkan bahawa penyakit itu ialah herpes.
Hollie begitu terkejut sebaik menerima berita itu. Sebelum ini ketika dia sedang hamil, dia pernah terbaca satu perkongsian di Facebook yang dibuat oleh seorang ibu lain, mengenai jangkitan menerusi ciuman dan sentuhan pada bayi.
“Saya cuba melindungi anak saya, bagaimanapun dia masih terkena virus yang dahsyat ini.
"Orang menganggap saya paranoid apabila saya berkata saya tidak mahu sesiapa mencium Oarlah ketika dia dilahirkan, tetapi ia seolah-olah tidak berjaya," katanya menerusi laporan portal Mirror.
Meskipun telah dilarang dan cuba mengambil langkah waspada, Hollie mengakui dia mungkin terlepas pandang.
"Kami cuba memikirkan siapa yang sebelum ini telah menciumnya, tetapi doktor memberitahu kami bahawa ia juga boleh dipindahkan menerusi tangan juga," kongsinya.
Bagaimanapun, hasil rawatan yang diberikan kepada anaknya menunjukkan kesan baik apabila ia tidak terlalu serius hingga boleh menjejaskan penglihatan Oarlah. Bengkak di kepalanya juga susut selepas 24 jam mendapatkan rawatan.
Untuk itu, Hollie menyebarkan gambar keadaan anaknya yang menghidapi herpes itu sebagai peringatan dan kesedaran awam terutamanya para ibu agar sentiasa berjaga-jaga terhadap penjagaan anak kecil, yang mungkin selama ini dipandang remeh.
#bayi #bayi enam bulan #ciuman #penyakit cacar air #sentuhan #virus #virus herpes
;