Discord.io digantung susulan kebocoran data pengguna
Astro Awani
Ogos 16, 2023 09:15 MYT
Ogos 16, 2023 09:15 MYT
APLIKASI berkomunikasi yang sering digunakan pemain dalam talian, Discord.io digantung sementara susulan masalah kebocoran data peribadi pengguna.
Seorang penggodam dilaporkan berjaya mencuri data peribadi 760,000 pengguna dan telah memuat naik sampel maklumat itu di Breached Forums dengan tujuan untuk menjualnya.
Perkhidmatan Discord kini telah digantung sehingga diberitahu kelak.
"Pada 14 Ogos, kami mengalami kebocoran data peribadi pengguna yang telah digodam oleh individu yang tidak dikenali.
"Oleh yang demikian, kami telah memutuskan untuk menggantung segala perkhidmatan dan operasi kami," kata syarikat itu dalam satu kenyataan di laman sesawang rasminya.
Tambahnya siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana insiden ini boleh berlaku.
Bagaimanapun Discord.io menegaskan maklumat pembayaran pengguna tidak disimpan dan segala transaksi diproses melalui PayPal dan Stripe.