Disangka mitos rupanya benar, kotak berisi jantung ditemui bawah pancuran air!
Agensi
September 11, 2020 15:27 MYT
September 11, 2020 15:27 MYT
Selama ini, orang ramai hanya menganggapnya sebagai suatu mitos urban. Hampir tiada siapa di Belgium, khususnya di bandar Verviers menyangka cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut itu rupa-rupanya benar belaka.
Reuters melaporkan, sekumpulan pengkaji yang sedang menggali struktur sebuah pancuran air lama untuk tujuan baik pulih pada bulan lalu telah menemui sebuah kotak usang, yang di dalamnya mengandungi jantung bekas Datuk Bandar Verviers!
Kotak logam kecil itu rupanya selama ini telah menyimpan jantung Pierre David yang dikedap rapi dalam botol berisi etanol.
Penemuan mengejutkan itu selama ini hanya tercatat dalam dokumen awam, namun selagi ia tidak ditemui, tiada sesiapa mempercayainya, ujar seorang Ahli Majlis Verviers, Maxime Degey.
"Hari ini, legenda itu bukan lagi legenda. Ia realiti,” jelasnya.
David, yang merupakan datuk bandar pertama bandar itu sejak Belgium mencapai kemerdekaan, masih menjawat jawatannya itu ketika terkorban pada tahun 1839 akibat terjatuh dari sebuah bangunan.
Pihak berkuasa tempatan telah membina sebuah kolam pancuran air sebagai tanda peringatan, dan dengan izin keluarganya, jantung David ditempatkan di bawah lapisan batu di bawah monumen tersebut pada 1883.
Kotak itu kini dipamerkan di Muzium Seni Halus dan Seramik Verviers dan akan dikembalikan ke lokasi asalnya, iaitu di kolam Fontaine David, Place Verte sejurus selepas kerja renovasi selesai.
"Saya tidak tahu jika ada contoh lain, jantung seorang Datuk Bandar ditempatkan di monumen khas di tengah-tengah bandarnya. Itu unik,” ujar kurator muzium itu, Nathalie Weerts.
David memulakan tugas sebagai Datuk Bandar Verviers dari tahun 1800 hingga 1808, ketika Belgium di bawah pentadbiran Perancis. Fasa kedua perkhidmatannya bermula pada tahun 1830 iaitu semasa Belgium sudah merdeka.
Mendiang telah membangunkan pasukan bomba pertama bandar itu selain mendekatkan politik kepada rakyat, dengan membenarkan orang awam menyaksikan perdebatan ahli majlis.