Dirakam ketika salin pakaian, wartawan Erin Andrews menang saman AS$55 juta
Agensi
Mac 8, 2016 12:48 MYT
Mac 8, 2016 12:48 MYT
MAHKAMAH memutuskan agar mangsa kes hendap, Erin Andrews, mendapat ganti rugi bernilai AS$55 juta (RM225 juta) selepas wartawan agensi berita Fox Sport dan ABC itu memenangi saman yang difailkan ke atas pemilik hotel Nashville Marriott.
Saman itu difailkan kerana seorang lelaki, Michael David Barrett, yang juga merupakan bekas kumpulan pengurusan hotel telah bertindak merakam dalam senyap aksi Andrews menyalin pakaian sebelum memuat naik rakaman itu ke internet pada tahun 2008.
Dalam saman tersebut, Andrews, 37, telah memohon AS$75 juta (RM307 juta) dengan mendakwa menghadapi tekanan emosi akibat video tersebut yang masih wujud sehingga kini.
Andrews yang bekerja untuk ESPN, ketika di mahkamah dilihat menangis kerana rakaman dirinya yang sedang dalam keadaan tidak berpakaian itu dipaparkan semula bagi mengumumkan keputusan.
Peguam Andrews mendakwa Nashville Marriott yang dimiliki West End Hotel Partners bertindak cuai memberikan Barrett nombor bilik Andrews dan membenarkannya menyewa di bilik bersebelahan.
Juri yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki mendapati Barrett yang melakukan perbuatan menghendap itu bersalah dan perlu menjelaskan 51 peratus dari jumlah saman manakala selebihnya pihak hotel.