Diracun di taman negara, enam bangkai singa ditemukan dalam keadaan dikerat-kerat
Agensi
Mac 21, 2021 11:11 MYT
Mac 21, 2021 11:11 MYT
KAMPALA: Ahli konservasi dan pejuang hidupan liar dikejutkan dengan penemuan enam bangkai singa, dalam keadaan bahagian tubuh yang terkerat dan tercerai, di salah sebuah taman negara Uganda.
Agensi berita NEPM melaporkan, keenam-enam ekor singa berkenaan dipercayai mati akibat diracuni pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam satu kenyaaan, Lembaga Hidupan Liar Uganda (UWA) berkata, kesemua bangkai singa berkenaan ditemukan di Taman Negara Queen Elizabeth pada Jumaat, dalam keadaan tidak sempurna.
Selain itu, beberapa burung nasar turut ditemui berhampiran dalam keadaan tidak bernyawa, dipercayai selepas memakan bangkai singa berkenaan, sekali gus menguatkan petunjuk bahawa haiwan itu diracun.
“UWA amat bersedih dengan keadaan ini, dan tidak menolak kemungkinan ia berkaitan aktiviti penyeludupan haram haiwan liar,” menurut kenyataan itu lagi.
Penemuan itu, menurut pihak berkuasa tempatan, merupakan satu impak yang dahsyat kepada sektor pelancongan negara itu, yang merupakan sumber pendapatan asing utama bagi Uganda.
Sektor pelancongan alam sekitar menyumbang sekitar AS1.6 bilion (RM6.57 bilion) kepada ekonomi Uganda setiap tahun.
Menurut kumpulan konservasi tempatan, aktiviti penyeludupan haiwan liar secara haram, pemburuan haram, termasuk mereka yang menjadikannya sebagai hobi, terus mengakibatkan pengurangan mendadak jumlah singa di benua Afrika.
Selain itu, pencerobohan habitat, pelaksanaan undang-undang berkaitan perdagangan yang lemah, serta perubahan iklim turut menjadi faktor penurunan jumlah itu.
“Kini tinggal kira-kira 20,000 singa yang hidup di Afrika, berbanding abad lepas di mana terdapat sekitar 200,000 ekor,” menurut laporan itu lagi.
#singa
#pemburuan haram
#perdagangan haiwan liar
#Uganda
#Taman Negara
#undang-undang
#haram
#sektor pelancongan
#pelancongan
#ekonomi