Diplomat AS, Jepun tegaskan kepentingan kerjasama tiga hala dengan Korea Selatan
Bernama
April 18, 2023 05:45 MYT
April 18, 2023 05:45 MYT
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken dan rakan sejawatnya dari Jepun, Yoshimasa Hayashi, menekankan kepentingan kerjasama tiga hala dengan Korea Selatan dalam satu mesyuarat yang diadakan di Tokyo, menurut jabatan negara pada Isnin.
Blinken dan Hayashi bertemu di luar mesyuarat menteri-menteri luar Kumpulan 7 yang berlangsung di Karuizawa, Jepun, lapor Yonhap.
"Blinken mengucapkan tahniah kepada Menteri Luar Hayashi atas kemajuan baru-baru ini dalam hubungan dua hala Jepun-Korea Selatan, dan mereka berdua menekankan kepentingan kerjasama tiga hala AS-Jepun-Korea Selatan untuk mengekalkan wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan makmur," timbalan jurucakap jabatan negara Vedant Patel berkata dalam satu kenyataan.
Hubungan Seoul-Tokyo baru-baru ini bertambah baik selepas Korea Selatan memutuskan untuk mengenepikan isu-isu berkaitan pemerintahan kolonial Jepun 1910-45 di Semenanjung Korea yang menjadi punca pertikaian undang-undang dan politik antara kedua-dua negara jiran itu selama bertahun-tahun.
Presiden AS Joe Biden memuji langkah Korea Selatan bulan lalu, dengan jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby menyebutnya sebagai "pengumuman bersejarah."
"Presiden Biden mengalu-alukan pengumuman 6 Mac itu, yang bertujuan untuk menangani isu sejarah dan untuk memperbaiki hubungan dua hala," kata Kirby sebelum ini.
--BERNAMA-YONHAP