Diplomat Iran beri amaran, Israel akan bayar "harga yang mahal" atas pembunuhan Ismail Haniyeh
Astro Awani
Julai 31, 2024 06:40 MYT
Julai 31, 2024 06:40 MYT
TEHRAN: Israel akan membayar "harga yang mahal" untuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di bumi Iran, kata diplomat kanan Iran, Abbas Araghchi dalam satu hantaran di akaun X pada Rabu.
Abbas dijangka menjadi Menteri Luar Negeri di bawah pentadbiran Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, menurut laporan media kerajaan IRNA.
“Rejim Israel akan gagal mencapai objektifnya untuk menyekat kerja kerajaan baharu di Iran,” kata Abbas.
Kematian Ismail yang dipercayai menjadi sasaran peluru berpandu pada awal pagi Rabu menyebabkan seluruh dunia berduka.
Jenazah Ismail akan dibawa ke Doha, Qatar selepas majlis penghormatan terakhir di Tehran yang dijadual pada Khamis sekitar jam 8 pagi waktu tempatan.
Memetik portal Al Jazeera, kumpulan Hamas berkata, selepas majlis penghormatan terakhir berlangsung di ibu negara Iran itu, jenazah Ismail kemudian akan dikebumikan di ibu negara Qatar pada Jumaat.