Dipecat kerana belasah pencuri, ditawar pekerjaan oleh Presiden UFC

Haider Yutim
Januari 11, 2020 23:13 MYT
Rakaman CCTV yang menyaksikan Summer bergelut dengan suspek lelaki tersebut menjadi tular di media sosial. - Foto Instagram/@danawhite
SEORANG pekerja keselamatan sebuah kedai di Hawaii dibuang kerja selepas bertindak membelasah seorang individu lelaki yang disyaki mencuri di kedai tersebut.
Bagaimanapun, nasibnya berubah selepas perkara itu mendapat perhatian Presiden UFC, Dana White yang menyuarakan hasrat mahu mengambil wanita tersebut bekerja dengannya.
White yang merupakan presiden promosi MMA terbesar dunia itu turut ingin menghadiahkan tiket termasuk penerbangan kepada Summer Tapasa-Sataraka, 24, untuk menyaksikan pertarungan UFC 246 'Conor McGregor vs Donald Cerrone' di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 18 Januari ini.
BACA: Sah! McGregor kembali beraksi Jan tahun depan menentang 'Cowboy' Cerrone
"Ini Summer. Dia menghalang penjahat itu daripada mencuri barang di Best Buy di Hawaii.
"Dia dipecat kerana tindakannya itu. Hujung minggu ini saya akan berikan dia tiket serta penerbangan untuk menyaksikan perlawanan McGregor vs Cowboy.
"Saya mahu dia bekerja dengan saya! Summer, bersedia untuk alami hujung minggu yang terbaik dalam hidup anda," katanya menerusi catatan tersebut.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menyaksikan Summer bergelut dengan suspek lelaki tersebut menjadi tular di media sosial sejak Disember lalu.
Summer dilihat membelasah suspek yang dipercayai mencuri satu set 'speaker' (pembesar suara) di kedai berkenaan, selepas cuba menghalangnya.
Selepas menyaksikan rakaman tersebut, White memuat naik posting di akaun Twitter dan Instagramnya, menyokong tindakan Summer.
#belasah pencuri #Best Buy #Conor McGregor #Dana White #Donald Cerrone #Hawaii #McGregor vs Cowboy #Presiden UFC #Summer Tapasa #Summer Tapasa-Sataraka #UFC #UFC 246
;