Dipaksa minum air kencing, makan lipas
Sinar Harian
November 7, 2018 07:59 MYT
November 7, 2018 07:59 MYT
Tiga pengurus di sebuah syarikat ubah suai kediaman di bandar Guizhou, China dihukum penjara lima dan 10 hari selepas memaksa dua staf yang gagal mencapai sasaran jualan meminum air kencing dan memakan lipas.
Pihak berkuasa mengambil tindakan segera selepas rakaman video yang tersebar di laman media sosial, Weibo menunjukkan pekerja terbabit disebat dengan tali pinggang dan dipaksa minum air kencing.
Menerusi video tersebut, seorang pengurus lelaki dilihat berdiri di tengah bulatan sambil memegang tali pinggang manakala pekerja yang 'dihukum' itu meminum cecair berwarna kuning dalam cawan plastik sambil menutup hidung mereka.
Media tempatan turut melaporkan bentuk 'hukuman' lain yang dikenakan ke atas kakitangan yang mempunyai prestasi lemah termasuk meminum air tandas atau cuka serta kepala mereka dibotakkan.
Syarikat itu bagaimanapun dilaporkan gagal membayar gaji pekerja mereka sejak dua bulan lalu dan tiada staf yang berani bersuara kerana bimbang tidak mendapat bayaran tersebut jika mereka berhenti kerja.
Ia adalah kes terbaharu yang digunakan majikan di China untuk menghukum kakitangan mereka.
Sebelum ini, beberapa pekerja di sebuah firma saling menampar muka antara satu sama lain kononnya untuk meningkatkan motivasi selain kakitangan dipaksa merangkak di jalan raya atau mencium tong sampah sebagai hukuman atau ketika menyertai kem bina semangat. - BBC