Dinding Gua Hira diconteng, Arab Saudi beri peringatan

Agensi
Julai 25, 2023 10:45 MYT
Ja'far memaklumkan proses mendaki Gua Hira sepatutnya penuh dengan nilai kerohanian namun terganggu dengan sampah dan vandalisme.- Wikipedia User Nazli
JAKARTA: Pihak berkuasa Arab Saudi dilaporkan memberi amaran kepada individu yang membuat sebarang kerosakan secara sengaja terhadap kemudahan awam di negara itu akan dikenakan hukuman.
Memetik laporan CNN Indonesia, amaran itu dikeluarkan selepas sebuah klip video memaparkan tindakan vandalisme yang memaparkan tulisan ‘Depok’ di dinding Gua Hira, tular di media sosial.
Rakaman tersebut merupakan sebahagian daripada video yang dimuat naik oleh Husein Ja'far Al Haidar atau yang biasa dipanggil Habib Ja'far di saluran YouTube Jeda Nulis bertajuk "Mengapa Depok di Gua Hira".
Ja'far memaklumkan, proses mendaki Gua Hira sepatutnya penuh dengan nilai kerohanian namun terganggu dengan sampah dan vandalisme.
“Antara yang saya kesalkan di atas batu-batu denai mendaki Gua Hira berlaku vandalisme, contengan orang yang tidak bertanggungjawab.
"Dan beberapa pelaku vandalisme jelas orang Indonesia, kerana lihat mereka, nama Rojali, Andriyani, Miftah, dan Depok, silakan." Katanya.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Eko Hartono memaklumkan sekiranya pelaku vandalisme ditangkap, mereka boleh didenda dan dipenjara.
Memetik Gulf News, jika didapati bersalah, pelaku boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda maksimum Rp.401 juta (RM121,695.68).
#YouTube #Arab Saudi #Depok #Vandalisme
;