Dinasti Jokowi: "Apa salahnya? Kita ingin berbakti..." - Prabowo Subianto

Agensi
Oktober 24, 2023 08:00 MYT
Prabowo Subianto membidas pandangan negatif mengenai dinasti politik Joko Widodo (Jokowi) hanya kerana anak penyandang Presiden Indonesia itu, Gibran Rakabuming Raka diumumkan sebagai bakal calon Naib Presiden. - Foto Facebook/Prabowo Subianto
JAKARTA: Bakal calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto membidas pandangan negatif mengenai dinasti politik Joko Widodo (Jokowi) hanya kerana anak penyandang Presiden Indonesia itu, Gibran Rakabuming Raka diumumkan sebagai bakal calon Naib Presiden.
Kepada Prabowo tidak ada yang salah jika tujuan Gibran Rakabuming diangkat sebagai calon hanya kerana mahu berbakti kepada rakyat dan negara Indonesia.
"Kita dinasti merah putih, kita dinasti patriot. Kita dinasti yang ingin mengabdi untuk rakyat. Kalau dinasti Pak Jokowi ingin berbakti kepada rakyat, kenapa? Salahnya apa?" tegas Prabowo sejurus berakhir mesyuarat pucuk pimpinan parti Gerindra, di sini, pada Isnin.
Bahkan, Prabowo turut menegaskan bahawa beliau juga sebahagian daripada dinasti ayahnya, Sumitro Djojohadikusumo dan datuknya, Raden Mas Margono Djojohadikusumo.
Bagaimanapun, tegas Menteri Pertahanan Indonesia itu, dinasti keluarganya ingin mengabdi kepada rakyat dan negara Indonesia.
Sumitro Djojohadikusumo merupakan menteri di era Orde Baru sementara Raden Mas Margono Djojohadikusumo merupakan pengasas Bank Negara Indonesia (BNI).
"Saya juga dinasti. Anaknya Sumitro, cucunya Margono. Paman (bapa saudara) saya gugur untuk Republik Indonesia," kata Prabowo.
Prabowo bersama parti politik gabungan Indonesia Maju memilih Gibran Rakabuming sebagai bakal calon Naib Presiden bagi pilihan raya negara itu tahun depan.
Gibran Rakabuming merupakan anak sulung Presiden Jokowi yang kini menjawat jawatan Wali Kota Solo.
Sebahagian daripada pemerhati politik menganggap Gibran Rakabuming mewakili dinasti politik yang dibangunkan Jokowi.
Semua itu bermula ketika Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia meluluskan pindaan pasal dalam Undang-Undang Pemilihan Umum (Pemilu) berhubung syarat-syarat calon-calon Presiden dan Naib Presiden.
Antara pindaan yang diluluskan ialah umur minimum calon-calon Presiden dan Naib Presiden haruslah 40 tahun atau pernah menjawat jawatan sebagai kepala daerah.
Justeru, Gibran Rakabuming yang berumur 36 tahun boleh dijadikan calon Naib Presiden.
"Jika benar MK meluluskan permohonan syarat usia calon Presiden dan Naib Presiden, maka itu sebenarnya adalah keputusan yang layak dikritik kerana merosakkan kewarasan konstitusi dan menyebabkan MK telah bersalin rupa daripada sebagai penjaga konstitusi kepada menjadi penjaga the family and dynasty Jokowi," kata pakar undang-undang Denny Indrayana seperti dilaporkan portal berita CNN Indonesia.
#Dinasti Jokowi #Gibran Rakabuming Raka #anak Jokowi bertanding pilihan raya #Prabowo Subianto
;