'Dinamik sifar COVID-19' masih relevan dalam situasi semasa China
Bernama
April 13, 2022 16:35 MYT
April 13, 2022 16:35 MYT
BEIJING: Pendekatan 'dinamik sifar COVID-19' dan protokol antiwabak yang dilaksanakan di China adalah berasaskan sains serta nasihat pakar, dan selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian menyifatkan pendekatan itu sebagai berkesan dalam menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat serta warga asing yang bermastautin di negara ini.
"Secara keseluruhannya, pendekatan itu selari dengan keadaan sebenar kami (China) dan turut memberikan hasil yang diingini.
"Jika diteliti dari segi jumlah kes jangkitan dan kematian serta data ekonomi, langkah-langkah yang kami ambil terbukti berkesan dalam mengekang penularan wabak," kata Zhao semasa taklimat harian di sini, pada Selasa.
Pendekatan 'dinamik sifar COVID-19' dianggap sebagai senjata ajaib yang digunakan China untuk memutuskan rantaian wabak dengan lebih pantas dan secara bersasar di dalam negeri.
Langkah itu juga masih relevan dalam usaha memerangi varian Omicron yang pantas menular ketika ini.
Menurut Zhao, hasil daripada langkah pencegahan dan kawalan yang ketat, China mampu mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mapan, di samping menyumbang kepada kestabilan rantaian bekalan global dan pemulihan ekonomi dunia.
-- BERNAMA