Dilontar kepala babi: Masjid Philadelphia balas dengan jamuan

Nizam Bakeri
Disember 16, 2015 13:28 MYT
Pintu hadapan Masjid Al-Aqsa di Philadelphia telah dilontar kepala babi minggu lalu. - Foto AP
Masjid Al-Aqsa di utara Philadelphia, Amerika Syarikat (AS) dicemari minggu lalu apabila rakaman video litar tertutup menunjukkan kepala babi dilontar dari sebuah trak ke arah pintu hadapan masjid tersebut, lapor The Philadephia Inquirer.
Masjid yang juga berfungsi sebagai bangunan Persatuan Islam Al-Aqsa itu telah menerima banyak sokongan dalam bentuk e-mel, kiriman bunga, malah makanan selepas peristiwa itu tersebar di Internet.
Bagi menyampaikan ucapan terima kasih ke atas sokongan dan simpati yang diterima, persatuan tersebut mengambil keputusan untuk mengadakan jamuan untuk masyarakat tempatan, lapor AP.
Majlis yang diadakan di ruang parkir itu dihadiri masyarakat berbilang bangsa dan agama, kesemuanya menyatakan sokongan terhadap masjid atas insiden yang telah berlaku.
“Terima kasih yang istimewa atas sokongan, kerjasama, dan kasih sayang anda semua,” ujar Imam Mohamed Shehata dalam bahasa Arab yang kemudiannya diterjemah dalam bahasa Inggeris. “Kami menyambut anda semua dengan aman; dan keamananlah matlamat, harapan, dan keinginan kami.”
Ratusan jiran tetangga, agamawan, keluarga, dan orang awam memenuhi ruang parkir masjid di Germantown Avenue dan Jefferson Street untuk acara tengah hari itu.
Kesemua tetamu memakai tanda nama yang bertulis nama masing-masing dalam bahasa Arab. Mereka semua dijamu dengan sosej, burger, dan falafel. Para remaja kelihatan bermain bola keranjang dan bola sepak. Organisasi seperti Council on American Islamic Relations (CAIR) membuka kaunter penerangan untuk menyebar informasi.
Sokongan masyarakat tempatan yang ditunjukkan kepada masjid ini dianggap penting selepas perkembangan semasa di Paris dan San Bernardino telah meningkatkan serangan orang awam terhadap rumah ibadah Muslim di seluruh AS.
Menurut CAIR, masjid dan pusat Islam di seluruh AS telah diserang dan diganggu sebanyak 63 kali tahun ini, angka tertinggi sejak 2009.
Diasaskan pada tahun 1989, bangunan persatuan Al-Aqsa ini menempatkan dewan solat, sekolah persendirian, dewan awam, kedai makanan, dan juga ibu pejabat Arab American Development Corp.
#Al-Aqsa Mosque #Islamophobia #Philadelphia
;