"Dilanggar kereta kali kedua satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan"

Astro Awani
Februari 2, 2022 08:45 MYT
Kejadian berlaku dua minggu lepas ketika Yorgey sedang membuat liputan lansung berkenaan cuaca buruk yang melanda Virginia. - Foto Instagram/@theellenshow
"KENA langgar dengan kereta buat kali kedua merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan."
Itu luahan wartawan Tori Yorgey ketika muncul dalam rancangan 'The Ellen DeGeneres Show' pada Selasa.
"Saya mengalami sakit badan beberapa hari selepas insiden itu namun pemandu itu tidak memandu kenderaan dengan laju.
"Saya seperti ditolak ke arah kamera sebelum terjatuh," katanya.
Kejadian berlaku dua minggu lepas ketika Yorgey sedang membuat liputan langsung berkenaan cuaca buruk yang melanda Virginia di Amerika Syarikat.
Video insiden berkenaan tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Yorgey turut menjelaskan ini bukan kali pertama dia dilanggar kereta.
Kali pertama berlaku ketika dia masih belajar di kolej oleh seorang lelaki yang sedang memberhentikan kenderaannya.
Orang ramai yang melihat video berkenaan turut mempersoalkan reaksi pembaca berita di studio yang seolah-olah tidak hiraukan keadaan Yorgey.
Yorgey pula menjelaskan pembaca berita tersebut tidak dapat melihat apa yang sedang berlaku dan hanya mendengar apa yang diperkatakan olehnya.
"Dia seorang yang sangat baik dan dia telah menelefon saya selepas kejadian untuk memastikan saya tidak cedera," katanya.
Dalam temu bual bersama DeGeneres yang dikongsi dalam akaun Instagram milik artis Hollywood itu, Yorgey diberikan hadiah sebuah jaket berwarna biru lengkap dengan lampu.
DeGeneres berkata, ini bagi memastikan Yorgey tidak dilanggar kereta lagi dalam masa akan datang.
#wartawan #dilanggar kereta #Tori Yorgey #The Ellen DeGeneres Show
;