Dijangkiti COVID-19 ketika mendandan rambut dan solek rakan karib

Agensi
September 9, 2020 12:22 MYT
Jillian Michaels menceritakan detik yang dialaminya dalam temu bual bersama Fox Business. - Instagram @jillianmichaels
Tindakan mengambil mudah langkah keselamatan kesihatan menyebabkan seorang jurulatih kecergasan dijangkiti COVID-19 apabila dia dijangkiti daripada rakan karibnya sendiri.
Ketika berjumpa selama sejam di pusat gimnasium, Jillian Michaels dan rakannya saling menata hias rambut dan muka masing-masing, namun tidak menyedari rakannya itu telah menyebarkan virus COVID-19 kepada dirinya.
"Saya sempat berjumpa dengan rakan baik di gimnasium dan kami hanya luangkan masa sejam sahaja menata hias rambut dan wajah bersama, namun masing-masing tidak memakai pelitup muka.
"Saya mula ketahui diri dijangkiti selepas enam hari pertemuan itu dan rakan saya itu juga tidak mengetahui dirinya menyebarkan virus itu," jelas jurulatih kecergasan Jillian Michaels kepada Fox Business.
Dia bersyukur kerana tidak mengalami simptom yang serius namun menegaskan perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana jelasnya virus itu boleh dijangkiti dan menjangkiti sesiapa sahaja termasuk rakan karib mahupun ahli keluarga.
Baginya, tidak kira di pusat gimnasium atau mana-mana premis juga boleh berlaku jangkitan sekiranya tidak mengambil perhatian mengenai langkah keselamatan pencegahan COVID-19 ini.
Di New York, operasi gimnasium ditutup susulan pandemik COVID-19 dan masalah kewangan melanda banyak gimnasium terkemuka di sana termasuk 24 Hour Fitness dan Gold's Gym.
Sehingga Rabu, terdapat 6.326 juta kes positif COVID-19 dicatatkan di Amerika Syarikat - kes tertinggi di dunia dengan lebih 189,000 korban.
#Amerika Syarikat #COVID-19 #dijangkiti #gimnasium #jangkitan #kesihatan #New York #pandemik
;