Didakwa sebar berita palsu, pegawai tinggi stesen TV swasta ditahan polis

Agensi
Oktober 14, 2021 18:55 MYT
Pegawai tertinggi di stesen televisyen berkenaan ditangkap di sebuah wilayah di Jawa Timur beberapa hari lalu. - Gambar hiasan
JAKARTA: Polis Indonesia menahan seorang pengarah di sebuah stesen televisyen swasta selepas dipercayai terlibat dalam penyebaran berita palsu dan menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan kaum.
Berita penangkapan itu disahkan Ketua Polis Metro Jakarta Pusat, Hengki Haryadi kepada portal berita tempatan.
“Ya benar, kami sudah menangkap seorang pengarah di sebuah stesen televisyen swasta disyaki terlibat dalam penyebaran berita palsu dan berkaitan agama, bangsa dan kaum,” kata Hengki kepada portal berita Detik.com pada Khamis.
Pegawai tertinggi di stesen televisyen berkenaan ditangkap di sebuah wilayah di Jawa Timur beberapa hari lalu.
Selain pengarah berkenaan, polis turut menahan dua individu lain untuk siasatan.
Ketika ini, jelas Hengki, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis.
Beliau, bagaimanapun, enggan berkongsi maklumat lanjut kes berkenaan termasuk identiti suspek.
Namun begitu, Hengki berkata, suspek sering menyebarkan berita palsu dan sensitif serta mampu menggugat penyatuan bangsa di negara itu melalui media sosial.
#sebar berita palsu #pegawai tinggi #stesen TV swasta #Indonesia
;