Didakwa jual data pengguna kepada tentera AS, Muslim Pro tampil menafikan

Saraya Mia
November 17, 2020 22:24 MYT
Muslim Pro didakwa menjual data berkenaan kepada sebuah syarikat lain yang kemudian berunding dengan kontraktor pertahanan. -Gambar fail
APLIKASI telefon pintar yang popular dalam kalangan umat Islam seluruh dunia, Muslim Pro didakwa menjual data penggunanya kepada pihak ketiga sebelum dibeli oleh tentera Amerika Syarikat (AS).
Portal Vice Media, Motherboard melaporkan, aplikasi itu didakwa adalah antara ratusan aplikasi lain yang mengumpul data lokasi penggunanya untuk dijual kepada pihak ketiga.
Dalam laporan berkenaan, Muslim Pro didakwa menjual data berkenaan kepada sebuah syarikat lain yang kemudian berunding dengan kontraktor pertahanan untuk menyampaikan data kepada Jabatan Pertahanan AS.
Syarikat terbabit dilaporkan memberitahu, fokus rundingannya dengan kontraktor pertahanan adalah tertumpu kepada aktiviti antikeganasan, keselamatan siber serta menentukan kawasan panas COVID-19.
Sementara itu, Business Insider, melaporkan susulan laporan berkenaan, pembangun aplikasi Muslim Pro memutuskan hubungan dengan syarikat terbabit serta rakan kongsi data yang lain.
Dalam pada itu, The Straits Times Singapore melaporkan, Muslim Pro menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan tidak pernah menjual data penggunanya.
“Perkara ini tidak benar sama sekali. Muslim Pro menghormati dan mengutamakan keselamatan data penggunanya,” kata Ketua Komuniti Muslim Pro, Zahariah Jupary.

Media reports are circulating that Muslim Pro has been selling personal data of its users to the US Military. This is INCORRECT and UNTRUE. Muslim Pro is committed to protecting and securing our users privacy. This is a matter we take very seriously. #MuslimPro pic.twitter.com/2Lu0Zgvso1

— Muslim Pro (@MuslimPro) November 17, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambah Zahariah, mereka sudah melancarkan siasatan mengenai isu itu di peringkat antarabangsa selain meneliti polisi data bagi memastikan keselamatan data penggunanya terjamin.
Muslim Pro merupakan aplikasi yang membantu penggunanya menentukan arah kiblat, selain mengingatkan waktu solat dan menyediakan ayat al-Quran secara dalam talian.
Aplikasi tersebut dibangunkan pada 2010 oleh syarikat Bitsmedia, sebuah syarikat pembangunan aplikasi berpangkalan di Singapura.
Sehingga kini, Muslim Pro dimuat turun lebih 98 juta pengguna di seluruh dunia termasuk kira-kira 12 juta pengguna aktif di Malaysia.
#Muslim Pro #aplikasi #Amerika Syarikat #tentera Amerika Syarikat #AS #menjual data pengguna #aplikasi kumpul data pengguna #kontraktor pertahanan #antikeganasan #keselamatan siber #Zahariah Jupary
;