Didakwa ingkar perintah, Presiden Pakistan pecat pegawai tertinggi
Bernama
Ogos 21, 2023 23:09 MYT
Ogos 21, 2023 23:09 MYT
NEW DELHI: Pejabat Presiden Pakistan Arif Alvi pada Isnin memecat seorang pegawai tertinggi, sehari selepas kakitangan itu dituduh ingkar dalam melaksanakan arahannya.
Alvi dalam catatan media sosial pada Ahad berkata beliau tidak menandatangani dua draf undang-undang penting yang meningkatkan kuasa tentera yang berkuasa.
Bagaimanapun, undang-undang yang diumumkan secara rasmi dianggap telah mendapat persetujuan presiden.
"Memandangkan kenyataan jelas semalam, Sekretariat Presiden telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri bahawa perkhidmatan Waqar Ahmed, Setiausaha Presiden, tidak lagi diperlukan dan diserahkan kepada Bahagian Penubuhan, serta-merta," kata pejabat presiden pada Isnin.
Alvi sebelum ini berkata beliau telah meminta kakitangannya mengembalikan Rang Undang-undang Pindaan Rahsia Rasmi 2023 dan Rang Undang-Undang Pindaan Tentera Pakistan 2023 yang belum ditandatangani kepada badan perundangan dalam masa yang ditetapkan untuk menjadikannya tidak berkesan kerana dia tidak bersetuju dengan undang-undang ini.
"Bagaimanapun saya dapati hari ini bahawa kakitangan saya mengabaikan kehendak dan perintah saya," kata presiden itu pada Ahad.
Jawatan presiden di Pakistan sebahagian besarnya adalah istiadat tetapi ia mempunyai tanggungjawab perlembagaan yang penting.
Dipilih secara tidak langsung untuk tempoh lima tahun melalui undi elektoral yang dianggotai oleh penggubal undang-undang, presiden adalah ketua negara, manakala kuasa eksekutif dilaksanakan oleh Kabinet negara yang diketuai oleh perdana menteri.
-- BERNAMA