Didakwa amal diskriminasi agama, kempen boikot United Airlines jadi viral
Kohilah Sekaran
Mei 31, 2015 18:09 MYT
Mei 31, 2015 18:09 MYT
Seorang penumpang wanita mendakwa syarikat penerbangan Amerika Syarikat United Airlines mengamalkan sentimen anti Islam atau 'Islamophobia' selepas dikatakan didiskriminasi pramugari penerbangan tersebut.
Tahera Ahmad, 31, seorang pengarah sebuah pertubuhan hubungan antara agama di Universiti Northwestern dilapor dalam perjalanan ke Washington dari Chicago untuk satu persidangan dialog dalam kalangan belia Israel dan Palestin.
Pengalaman buruk Tahera yang memakai hijab ketika kejadian itu telah dikongsi melalui akaun Facebooknya.
Semuanya bermula apabila Tahera meminta satu tin minuman Diet Coke yang masih belum dibuka daripada pramugari bertugas pada hari itu, tetapi petugas terbabit enggan memberikannya atas alasan bertentangan dengan peraturan keselamatan penerbangan United Airlines.
Menurut Tahera, pramugari itu mengatakan bahawa mereka tidak dibenarkan memberi tin yang belum dibuka kepada pelanggan demi keselamatan kerana bimbang digunakan sebagai senjata ketika penerbangan.
Tahera yang pada mulanya dapat menerima alasan itu kemudiannya melahirkan rasa terkejut apabila pramugari yang sama memberi satu tin arak yang belum dibuka kepada penumpang lain di hadapan wanita tersebut.
Malah, apabila ditanya tentang layanan berbeza yang diterimanya itu, pramugari berkenaan dengan pantas mengambil balik minuman tersebut dan membukanya sebelum memberikannya semula kepada penumpang terbabit.
Kecewa dengan layanan yang dianggap tidak adil itu, Tahera mula bertanya kepada penumpang lain sekiranya mereka melihat apa yang berlaku sebagai satu tindakan diskriminasi agama.
Bagaimanapun, salah seorang penumpang lelaki di dalam kabin pesawat menjawab “awak seorang Islam perlu menutup mulut. Kami tahu awak akan gunakannya sebagai senjata."
Tahera yang menyangka penumpang lain akan mempertahankannya mula menangis selepas berasa dihina.
Wanita tersebut kemudian berkongsi kejadian itu di akaun Facebooknya dan kini status itu menjadi viral sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada pengamal media sosial.
Dalam perkembangan sama, pengguna media sosial melahirkan sokongan mereka dengan hashtag #unitedfortahera di Twitter dan juga menyeru syarikat penerbangan tersebut untuk meminta maaf bagi mengelak penerbangan itu diboikot oleh pelanggannya.
Sementara itu, menurut jurucakap United Airlines, Charles Hobart, syarikat penerbangan itu tidak pernah mendiskriminasi golongan pekerja mahupun pelanggan mereka.
”Kami sedang menghubungi Tahera untuk mendapatkan penjelasan bagi menyelesaikan isu tersebut,” kata Charles yang dipetik daripada laporan CNN.