Dibuang sekolah kerana ibu bapa tidak pilih calon pemimpin

Sinar Harian
November 26, 2024 09:00 MYT
Tiga ibu murid berkenaan ternyata kesal dengan tindakan sekolah tersebut. - Foto Sinar Harian/Agensi
JAKARTA: Tiga orang murid dibuang dari tadika akibat menjadi mangsa 'permainan politik' sekolah, apabila ibu bapa mereka mempunyai pilihan berbeza dengan pemilik sekolah, sempena pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2024.
Murid-murid tersebut, Icha, Bian dan Chaca dari Tadika Darul Fiqri Dukuh Cikalan, Rembang, Jawa Tengah, itu dikenakan tindakan itu selepas ibu bapa mereka enggan menyokong calon Bupati dan Timbalan Bupati Rembang yang sudah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Menurut ibu Icha, Ambarwati, dia tidak dapat memenuhi arahan tadika itu kerana sudah mempunyai pilihan calon pemimpin yang sesuai dengan dirinya.
"Pada Khamis lalu, saya didatangi oleh pemilik bersama guru-guru tadika anak saya, pemilik menyatakan bahawa kami perlu menyokong pasangan calon nombor dua.
"Kata mereka, sekiranya enggan tindakan akan diambil (anak akan buang sekolah)," katanya memetik laporan Tribun Medan pada Ahad.
Bagaimanapun katanya, dia tidak mengendahkan arahan itu hinggalah keputusan sekolah membuang anaknya.
Dalam pada itu, pihak sekolah ketika dihubungi wartawan melalui panggilan telefon enggan mengulas lanjut.
Pihak sekolah menjelaskan bahawa mereka hanya akan memberi keterangan sekiranya wartawan datang sendiri ke lokasi sekolah.
Bagaimanapun, selepas wartawan datang dan menunggu sehingga beberapa jam dan memaklumkan mengenai kehadiran mereka, pihak sekolah masih enggan menemui wartawan.
Sementara itu, pemerintah Pamotan, Rembang, akan memanggil pemilik tadika berkenaan untuk tujuan siasatan lanjut.
Difahamkan, Yayasan Darul Fiqri yang menaungi tadika berkenaan merupakan milik anak calon Bupati yang turut sama menyertai Pilkada berkenaan. - Sinar Harian memetik agensi
#murid tadika #dibuang sekolah #pemilihan Kepala Daerah #calon Bupati
;