Diboikot gara-gara hantar anak ke sekolah naik Ferrari: "Kenapa tak guna kereta lain?"

Agensi
Oktober 10, 2018 19:09 MYT
Enggan menghantar anaknya dengan kereta lain, Li berkata dia bekerja keras untuk mendapatkan kekayaannya dan hanya akan memberi yang terbaik buat anaknya. - Gambar hiasan
SEORANG bapa di timur China yang menghantar anaknya ke sekolah dengan sebuah kereta Ferrari, kini berdepan 'boikot sosial' kerana kononnya 'menunjuk-nunjuk' selain telah ditendang keluar daripada kumpulan WeChat kelas anaknya selepas dia enggan menggunakan kereta lain.
Memetik laporan akhbar tempatan City Express, South China Morning Post melaporkan, lelaki yang bernama Li itu merupakan bapa kepada seorang murid sekolah rendah di Hangzhou, Zhejiang, dan adalah seorang pegawai eksekutif kanan di sebuah syarikat pembangunan hartanah yang berpendapatan lebih empat juta yuan (RM2.4 juta) setahun.
Li dilaporkan menghantar anaknya ke sekolah dengan sebuah kereta Ferrari 488.
Rekod perbualan di aplikasi WeChat itu menunjukkan, Li diberitahu oleh seorang guru sekolah anaknya bahawa terdapat beberapa ibu bapa mengadu dalam kumpulan perbualan mengenai tindakannya memandu kereta tersebut ke sekolah.
Guru itu berkata, ia akan menyebabkan perbandingan tidak sihat di dalam kelas serta tidak kondusif untuk menyemai persahabatan dalam kalangan murid.
Ramai ibu bapa sokong guru tersebut dan mencadangkan Li memandu kenderaan lain untuk menghantar anaknya.
"Ia tak sesuai. Kamu tak patut menunjuk-nunjuk, tak kisahlah kaya mana pun," tegur salah seorang ibu bapa.
"Kalau setakat nak hantar anak ke sekolah, kenapa tidak boleh guna kereta lain? Bukannya tak ada duit (untuk tukar kereta)," ujar seorang lagi.
Li bagaimanapun enggan mengalah. Katanya, dia bekerja keras untuk mendapatkan kekayaannya dan hanya akan memberi yang terbaik buat anaknya.
"Kalau (melihat orang lain) memandu kereta sport membuat mereka tersinggung, mungkin anak-anak kamu terlalu sensitif," tulisnya. "Lagipun, kenapa saya perlu beli kereta lain hanya untuk memenuhi keperluan kamu?"
Namun, tidak lama kemudian, Li sedar dia telah 'ditendang keluar' daripada kumpulan WeChat berkenaan apabila mesejnya - "Apa kena dengan kamu semua?" - disekat.
Insiden terbabit telah mencetuskan debat di media sosial tentang mempamer kekayaan. Terdapat hampir 30,000 komen netizen dan lebih 12,000 kongsi di tiga akaun tertinggi yang melapor berita tersebut di Weibo, satu platform media sosial di China yang bersamaan dengan Twitter.
Walaupun ada mereka yang tidak setuju dengan tindakan guru terbabit mengeluarkan ibu bapa daripada kumpulan perbualan semata-mata kerana perbezaan pendapat, ada yang berkata, guru itu dan ibu bapa lain sepatutnya menggunakan peluang itu untuk mengajar kanak-kanak tentang nilai hidup.
"Guru dan ibu bapa yang tersinggung telah gagal mendidik kanak-kanak tentang tentang nilai-nilai yang betul mengenai wang dan kehidupan. Bolehkah mereka melenyapkan segala produk mewah dari dunia ini?" ujar seorang netizen.
Seorang lagi berkata, "Jurang kekayaan adalah satu realiti. Adalah lebih baik untuk mendidik kanak-kanak berdepan situasi daripada mencemuh orang lain kerana memandu kereta mewah."
#China #Ferrari #WeChat #Weibo
;