Diancam bunuh atas pelamin, lelaki diculik dan dipaksa batal perkahwinan sendiri
Astro Awani
Jun 5, 2021 09:17 MYT
Jun 5, 2021 09:17 MYT
UTTAR PRADESH: Seorang lelaki sanggup lakukan apa sahaja, termasuk membahayakan nyawa demi melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya.
Menurut laporan The Times of India, Jugal Kushwaha diculik tiga individu tidak dikenali di Uttar Pradesh, India pada 22 Mei lepas.
Semasa dalam penahanan, Jugal diberi amaran untuk membatalkan upacara perkahwinannya yang dijadualkan pada 29 Mei.
Dia diberitahu jika gagal berbuat demikian, dia akan ditembak mati semasa duduk di atas pelamin.
Jugal turut dipaksa menelefon keluarga bakal mentuanya bagi menyatakan pembatalan tersebut, menurut jurucakap polis seperti dipetik The Times of India.
Bakal pengantin tersebut kemudian dibebaskan dan dia terus membuat laporan polis.
Walaupun berdepan ancaman, Jugal meneruskan hasratnya mengahwini gadis pilihan hatinya.
Upacara perkahwinan diteruskan pada 29 Mei lalu di bawah pengawasan ketat pihak polis.
Kes penculikan tersebut masih dalam siasatan polis bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.