Di sebalik 'senyuman', ramai tidak sangka chef CZN Burak menderita tumor otak

Nickyson Nyambar
Mei 10, 2022 20:30 MYT
Burak Ozdemir atau lebih dikenali Chef CZN Burak berkongsi kondisi kesihatannya di laman sosial TikTok sejak Ahad lalu memperlihatkannya kelihatan lemah dan tidak bermaya akibat sakit tumor otak. -Gambar @cznburak
KUALA LUMPUR : Ramai tidak sangka di sebalik keriangan, serta keramahan senyuman manis yang sering ditunjukkan oleh chef terkenal kelahiran Turki, Burak Özdemir di media sosial sebenarnya menyimpan berita yang berat untuk dikongsikan.
Dia yang tidak lokek dengan senyuman dalam setiap paparan video yang dimuat naik di laman sosial TikTok yang memaparkan bakat masakannya, sering berkongsi rezeki dengan masyarakat yang kurang bernasib baik.
Baru-baru ini, peminatnya dari serata dunia menyuarakan rasa terkejut dan bersimpati dengan nasib chef kesayangan mereka ini selepas mengetahui bahawa dirinya menderita sakit tumor otak.
Lebih sebak lagi, dalam dua perkongsian video terbaharu beliau, Chef Burak kelihatan sugul dan pucat, selain berat badannya menyusut.
"Sekiranya saya sudah tidak ada lagi, (kenangi saya) menerusi video-video masakan amal yang dibuat sebelum ini," kongsinya dalam salah satu video yang dimuat naik baru-baru ini.
Melihat di ruangan komen, rata-rata peminat mendoakan agar Chef Burak diberikan kekuatan serta dikurniakan kesembuhan segera dari penyakit itu
"Saudaraku Burak, tolong kuat (menghadapi dugaan) dan kami semua mendoakan anda," petik salah satu komen yang dibuat di paparan video itu oleh pengguna @adilyegna.
#Burak zdemir #TikTok #tumor otak #video masakan
;