Di manamu Greta? COP25, 2 Disember bermula

Razak Chik
Disember 1, 2019 22:23 MYT
Mengikut perkiraan, kapal layer catamaran La Vagabonde akan tiba di Pelabuhan Lisbon pada minggu pertama Disember, bergantung kepada kelajuan angin dan keadaan laut. Sumber Foto: frontpagelive.com
SEWAKTU artikel ini ditulis, tinggal beberapa jam sahaja sidang kemuncak perubahan cuaca dunia bakal bermula di Madrid. Ibu kota Sepanyol menjadi `bidan terjun’ mengganti Santiago, Chile yang berantakan menangani protes jalanan melanda negara Amerika Selatan itu sepanjang bulan November.
Perwakilan dari seluruh dunia akan bersidang selama dua minggu (2-16 Disember) di COP25 setelah Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez bermurah hati jadi pengganti.
Sementara para perwakilan pasti bersidang selesa di majlis pembukaan persidangan dua minggu itu di darat, perhatian sebenar akan terarah ke pantai laut Atlantik di luar pantai Lisbon, Portugal.
Mengikut perkiraan, kapal layer catamaran La Vagabonde akan tiba di Pelabuhan Lisbon pada minggu pertama Disember, bergantung kepada kelajuan angin dan keadaan laut. Apa pun, COP25 bersedia menyesuaikan jadual persidangan untuk memuatkan kehadiran remaja bergelar Puteri Penyelamat Dunia.
Bagi mereka yang tertanya tanya Greta di mana – klik sahaja #WhereIsGreta.
Jika mahu menjejak setiap gerak geri dari saat ke saat, La Vagabonde, laman blog Ocean Shepherd (www.oceanshepherd.co.uk) kendalian Andy Pritchard dari United Kingdom menjadi rujukan.
Pelayaran kira kira 2,600 batu nautika (3,000 batu) merentas Lautan Atlantik menggunakan kapal layer catamaran buatan Perancis bermula pada pagi Rabu 13 November dari pelabuhan Hampton, Virginia.
Dengan kemudahan komunikasi yang sedia ada, ramai penyokong gerakan `menyelamat dunia dari bahang kepanasan’ mengikuti pelayaran La Vagabonde secara `tepat masa’ (real time).
La Vagabonde merupakan `rumah terapung’ warga Australia Riley Whitelum, 35;dan Elayna Carausu, 28; bersama bayi lelaki mereka Lenny yang baru berumur 11 bulan.
Bapa Greta, Svante, 50; menemani anak daranya yang bakal menyambut hari kelahiran ke-17 pada 3 Januari nanti.
Pelayar profesional wanita Nikki Hendersen, 26; dari United Kingdom turut serta menyumbang kepakaran mengendalikan La Vagabonde sepanjang perjalanan.
Walaupun pentadbiran Donald Trump tidak sehaluan dengan pendapat umum tentang bahaya yang dihadapi dunia akibat pemanasan global, Amerika Syarikat akan menghantar satu pasukan peringkat rendah ke COP25. Namun tiada seorang pun anggota perwakilan dari pentadbiran White House Donald Trump akan hadir.
Berbeza dengan pendirian parti Republikan, Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi akan hadir mengetuai delegasi 15-anggota mewakili Kongres. Delegasi Kongres Amrika terdiri anggota Dewan Perwakilan dan Dewan Senat kalangan ahli parti Demokrat.
Setibanya di Pelabuhan Lisbon, Greta punyai dua cara meneruskan perjalanan darat hampir 630 km ke Madrid.
Berkeretapi akan memakan masa antara 10 hingga 12 jam sementara perjalanan berkereta hanya memerlukan kurang dari enam jam. Sudah tentu pengangkutan keretapi lebih mesra alam dari berkereta walaupun akan memakan masa lebih lama.
Berbanding hampir empat minggu di lautan, apakah separuh hari atas daratan bagi Greta?
#cop25 #Donald Trump #Elayna Carausu #Greta Thunberg #LaVagabonde #Nancy Pelosi #Nikki Hendersen #Riley Whitelum #Svante Thunberg #WhereIsGreta
;