Hanya terdapat satu mangsa yang disahkan terlibat dalam serangan hendap tentera India di kawasan sempadan bergolak Kashmir.

Langkah ketenteraan India itu didakwa bertujuan menghapuskan ‘pengganas’, namun individu yang terkena tembakan itu hanya orang biasa, penduduk kampung yang jelas ketakutan dengan tindakan India.

“Mereka kata mahu menyasarkan pengganas. Adakah anda lihat pengganas di sini?” soal Nooran Shah, penduduk Kampung Jaba, Timur Laut Balakot, yang tercedera dalam serangan itu.

“Kami yang mendiami kawasan ini. Adakah kami pengganas?” soalnya.

BACA: Video juruterbang India puji tentera Pakistan tular

India pada Selasa berkata serangan itu memusnahkan kem latihan utama Jaish-e Mohammad, yang didakwa bertanggungjawab dalam serangan 14 Februari di wilayah yang dikawal India di Kashmir, mengorbankan 40 separa tentera.

Namun setakat ini, tiada bukti mayat pengganas seperti didakwa India, ditunjukkan.


Setiausaha Luar India Vijay Gokhale bagaimanapun berkata, serangan itu berjaya membunuh sejumlah besar ahli Jaish-e-Mohammad.

Malah, pegawai tertinggi kerajaan India berkata, sejumlah 300 orang didakwa pengganas berjaya dibunuh.

Bagaimanapun, Pakistan menafikan dakwaan tersebut dan berkata serangan India hanya terkena kawasan pinggir bukit yang tidak berpenghuni.

Penduduk Kampung Jaba turut menunjukkan empat kesan bedilan tentera India yang dilakukan pada jam 3 pagi Ahad.

“Kami amat terkejut dengan serangan itu. Tiada kematian di kawasan ini, hanya beberapa batang pokok tumbang,” kata salah seorang penduduk.