Di mana kapal mewah Equanimity berada sekarang?
Astro Awani
Ogos 6, 2018 21:32 MYT
Ogos 6, 2018 21:32 MYT
Kapal persiaran mewah Equanimity kini sedang dalam pelayaran menuju ke perairan negara.
Kapal bernilai US$250mil (RM1bil) dipercayai milik ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, itu dijangka berlabuh pada jam 7 malam esok.
Pemantauan Astro AWANI menerusi sebuah laman web menunjukkan kapal persiaran mewah itu sedang dalam pelayaran dari pelabuhan Batam menuju ke Pelabuhan Klang.
Kapal itu dikesan bergerak pada kelajuan purata 13 knot di sepanjang laluan dipercayai sekitar 230 batu nautika.
Ketika artikel ini diterbitkan, kapal mewah Equanimity itu dilihat berada di Selat Singapura di antara pulau Sentosa dan Pulau Batam dan sedang belayar menuju ke Selat Melaka.
Menurut laporan portal The Star, kapal itu diberi pelepasan daripada Jabatan Marin Batam pada jam 2.30 petang hari ini dan mula belayar pada jam 4.45 petang.
Dilaporkan sekurang-kurangnya empat pegawai polis mengiringi kapal dan krunya ke Malaysia.