Dewan Senat Australia lulus rang undang-undang bayaran untuk kandungan berita
Ahmad Khairol Shafizan Johari
Februari 24, 2021 00:55 MYT
Februari 24, 2021 00:55 MYT
DEWAN Senat Australia meluluskan rang undang-undang yang memerlukan Facebook dan Google memberi bayaran bagi setiap kandungan berita yang dikongsikan di platform mereka.
Melalui rang undang-undang berkenaan Facebook serta Google perlu berunding dengan syarikat penerbitan berita di peringkat timbang tara jika kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat mengenai pembayaran kandungan berita yang dikongsikan di platform mereka.
Kelulusan Dewan Senat ini menyusul pindaan yang dibuat ke atas rang undang-undang berkenaan ekoran tindakan Facebook yang menyekat kandungan berita di Australia pada hujung minggu lalu, termasuk kandungan berkaitan maklumat kecemasan.
Selain Facebook, Google juga tidak bersetuju dengan rang undang-undang berkenaan dan pernah mengancam akan menutup operasi enjin pencariannya di Australia.
Selepas diluluskan Dewan Senat, rang undang-undang itu kini perlu diluluskan oleh Dewan Perwakilan untuk proses undi pada Khamis.
Isu ini bukan sahaja menjadi topik utama di Australia malah turut diikuti oleh ramai pemimpin dunia, seperti Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau yang sudah memberi gambaran mengenai potensi kerjasama regulatori antara kedua-dua negara.
Hujung minggu lalu Facebook menyekat semua kandungan beritanya, termasuk kandungan berkaitan hal-hal kecemasan di Australia.
Facebook juga menegaskan perkongsian kandungan yang dibuat menerusi platformnya memberi manfaat kepada syarikat penerbitan berita.