Dewan Perwakilan Perancis lulus undang-undang kekang pelampau agama
Astro Awani
Februari 16, 2021 06:28 MYT
Februari 16, 2021 06:28 MYT
DEWAN Perwakilan Perancis pada Selasa meluluskan satu rang undang-undang yang bertujuan mengekang kegiatan pelampau agama.
Sejumlah 347 menyokong rang undang-undang berkenaan, sementara 151 lagi membantah dan 65 berkecuali.
Draf itu dirangka bagi mengekang peningkatan apa yang disifatkan kumpulan radikal Islam.
Kerajaan menyifatkan ia mengancam perpaduan nasional.
Ia akan membenarkan pemantauan ketat di masjid, sekolah dan kelab sukan.
Draf akta itu sebelum ini dibantah kerana secara tidak langsung menjadikan setiap penduduk Islam sebagai suspek.
Ia juga mengehadkan kebebasan beragama.
Draf akta itu akan dibawa ke Dewan Senat untuk pengundian.
Undang-undang itu dianggap satu lagi strategi kempen Presiden Emmanuel Macron, menjelang pilihan raya tahun depan.
Perancis masih lagi bergelut untuk melaksanakan integrasi penduduk Islam yang mewakili sejumlah besar populasinya.
Penduduk Islam Perancis dalam pada itu menyifatkan rang undang-undang berkenaan menyekat kebebasan beragama.
Rakyat Paris, Abdellah berkata, ia juga secara tidak adil meletakkan mereka sebagai sasaran.
“Saya tidak percaya penduduk Islam di Perancis ini sebagai punca masalah dan pejuang revolusi menentang Perancis.
“Sudah tentu ini akan menjadi satu bentuk kemusnahan kepada rakyat Perancis, sama ada mereka yang beragama Islam, Kristian mahupun Yahudi. Ia akan mewujudkan banyak masalah kepada mereka yang beragama Islam,” katanya.
Rang undang-undang ini jika diluluskan Senat, disifatkan akan mencetuskan kesukaran buat penduduk Islam.
Ia dijangka mendapat sokongan majoriti di Senat yang dikuasai Konservatif.
#pilihan raya
#sekolah
#kerajaan
#Emmanuel Macron
#Islam
#suspek
#penduduk Islam
#Rang Undang-Undang
#sekat kebebasan beragama
#kebebasan beragama
#mengancam perpaduan
#pelampau agama
#radikal