Dewan Perwakilan AS lulus rang undang-undang larang import uranium keluaran Rusia hingga 2040
Bernama
Disember 12, 2023 16:52 MYT
Disember 12, 2023 16:52 MYT
WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan undang-undang melarang import uranium tertentu keluaran Rusia ke AS yang terus berkuat kuasa sehingga 2040, lapor Sputnik.
Ahli Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang yang digelar Akta Larangan Import Uranium Rusia pada Isnin melalui undian suara.
"Amerika Syarikat sangat bergantung pada bekalan bahan api nuklear Rusia untuk armada loji kuasa nuklear sedia ada," kata Pengerusi Jawatankuasa Tenaga Dewan Perwakilan AS Cathy McMorris Rodgers awal tahun ini dalam satu kenyataan mengenai rang undang-undang itu.
Undang-undang berkenaan melarang import uranium unirradiated dan low-enriched uranium yang dihasilkan Rusia atau oleh entiti Rusia.
Bagaimanapun, rang undang-undang itu juga memberi kuasa kepada Setiausaha Tenaga AS -- setelah berunding dengan Setiausaha Negara dan Setiausaha Perdagangan untuk mengecualikan larangan jika tiada sumber uranium sedemikian tersedia atau jika import dilakukan demi kepentingan negara.
Larangan import berakhir pada 31 Dis 2040.
Bagaimanapun, rang undang-undang itu tidak meliputi import oleh Jabatan Tenaga AS untuk tujuan keselamatan negara atau tujuan mengawal senjata nuklear (non-proliferation), atau "non-uranium isotopes".
-- BERNAMA