Dewan Perwakilan boleh hantar pertuduhan terhadap Trump ke Senat seawal hari ini

Astro Awani
Januari 22, 2021 09:03 MYT
Nancy Pelosi bercakap pada sidang media mingguan beliau di Capitol AS, Washington, 21 Jan, 2021. REUTERS
DEWAN Perwakilan Amerika Syarikat boleh mengemukakan pertuduhan terhadap bekas Presiden Donald Trump yang didakwa menghasut pemberontakan, seawal hari ini.
Ia akan menentukan nasib Trump sama ada masih layak bertanding sebagai presiden di masa akan datang.
Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi enggan memberikan perincian mengenai tarikh sebenar pendakwaan dikemukakan.
“Ia akan dilakukan tidak lama lagi, saya tidak fikir ia akan mengambil masa lama, tetapi ia mesti dilakukan," katanya di Washington pada Khamis.
Tambahnya, Trump tidak layak untuk dikecualikan daripada menerima hukuman hanya kerana dia telah meninggalkan pejabatnya dan walaupun Presiden Joe Biden menyebut tentang perpaduan nasional.
Pertuduhan itu akan menjadi langkah awal memulakan cubaan pemecatan presiden di Senat selepas meninggalkan jawatan.
Trump dituduh menghasut serangan keganasan di Capitol pada 6 Januari.
Demokrat, yang mempunyai majoriti Dewan Perwakilan, secara tipis menguasai Senat tetapi sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 100 anggota dikehendaki untuk meluluskan undi memecat Trump.
Usul yang berasingan diperlukan untuk menghalang Trump daripada mencalonkan diri lagi.
Di bawah peraturan Senat, perbicaraan akan dimulakan sehari setelah dewan mengemukakan pertuduhan.
Bagaimanapun sehingga kini belum jelas, adakah tindakan mengemukakan pertuduhan akan ditunda.
#Donald Trump #presiden #keganasan #Capitol #Dewan Perwakilan #Amerika Syarikat #serangan #pendakwaan #Pertuduhan #pecat
;