Detik-detik cemas kanak-kanak terjatuh dalam kandang panda gergasi

Agensi
Februari 11, 2019 20:19 MYT
Salah seekor daripadanya sedikit hampir kepada kanak-kanak yang sedang menangis itu. Namun mujur haiwan-haiwan itu tidak melintasi kawasan pemisah pada bukit dan tembok pemisah.
Seorang kanak-kanak perempuan berhadapan detik cemas selepas terjatuh ke dalam kandang yang menempatkan tiga ekor beruang panda gergasi di sebuah kawasan hutan rizab di barat daya, China.
Lapor Beijing Youth Daily kanak-kanak terbabit jatuh tidak kurang dari ketinggian dua meter ke dalam kawasan kandang di Pusat Penyelidikan Pembiakan Panda Chendu yang terletak di wilayah Sichuan itu.
Rakaman insiden mencemaskan itu menunjukkan bagaimana beruang-beruang panda itu kelihatan seperti cuba menghampiri kanak-kanak itu dengan disaksikan pengunjung yang terpaku dan berteriak.
Salah seekor daripada panda kelihatan menghampiri kanak-kanak yang sedang menangis itu.
Namun mujur haiwan-haiwan itu tidak melintasi kawasan pemisah pada kawasan bukit dan tembok pemisah.
Selepas usaha untuk membawa keluar kanak-kanak itu menggunakan sebatang tiang gagal, seorang pegawal keselamatan bagaimanapun sempat menarik keluar dengan selamat kanak-kanak itu.
Di sebalik insiden itu, pusat itu masih mempertahankan kawalan keselamatannya yang didakwa selamat.
“Pagar yang dibina adalah cukup tinggi. Kecuali anda sengaja memanjatnya, adalah mustahil untuk jatuh,” kata seorang pegawai bertugas.
Namun daripada paparan video terbabit, kelihatan jelas pagar itu hanya setinggi satu meter dan terdapat ruang yang besar untuk kanak-kanak lolos.
Sichuan adalah hanya beberapa kawasan di negara itu yang panda masih boleh ditemui hidup secara liar dan ibu kota Chengdu telah menyediakan pusat pemuliharaan khas buat haiwan terlindung itu.
Ia kini menjadi pusat pelancongan popular kepada pelancong dalam dan luar negara.
#Beijing #Chendu #China #Kanak-kanak #Panda #pelancong #pelancongan #Sichuan #video
;