Detik cemas penumpang UA1175 apabila enjin pesawat 'berkecai' di udara
APTN
Februari 15, 2018 09:21 MYT
Februari 15, 2018 09:21 MYT
SEBUAH pesawat United Airlines yang berlepas dari San Francisco ke Hawaii terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas sebahagian enjin pesawat bertaburan di udara.
Ketika kejadian, pesawat tersebut membawa 373 penumpang dan anak kapal.
Adegan cemas itu bermula apabila pesawat Boeing 777-222 berkenaan bersedia untuk mendarat dalam tempoh 35 minit di Lapangan Terbang Antarabangsa Honolulu.
Dalam keadaan panik, beberapa penumpang sempat merakamkan saat bahagian luar enjin tersebut bertaburan di udara.
Erik Haddad, seorang jurutera Google yang menaiki pesawat tersebut sempat berkongsi detik cemas berkenaan di akaun Twitter miliknya.
Haddad mengambil beberapa keping gambar berserta video yang menampakkan bahagian enjin pesawat itu 'berkecai'.
Selain Haddad, seorang lagi penumpang pesawat, Maria Falaschi turut memuat naik insiden berkenaan di laman Twitternya beserta kapsyen “scariest flight of my life.”
Namun sejurus selepas itu Falaschi menambah dalam muat naik seterusnya di Twitternya, “the pilots did a great job, so did the crew.”
Ini kerana, menurutnya, sewaktu kejadian para penumpang diminta mengikut prosedur pendaratan cemas dan anak kapal berjaya menjalankan tugas mereka dengan tenang.
Pesawat dengan nombor siri UA1175 itu bagaimanapun berjaya mendarat dengan selamat di Honolulu tepat jam 12.38 tengah hari waktu tempatan.
Kesemua 373 penumpang dan anak kapal selamat.