Derma pakaian, PM Britain didakwa langgar peraturan Parlimen

Astro Awani
September 15, 2024 08:15 MYT
Starmer dan pasukannya telah mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa untuk datang ke pejabat dan percaya mereka telah mematuhi undang-undang. - Foto fail/AP
LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer telah melanggar peraturan Parlimen dengan tidak mengisytiharkan seorang ahli perniagaan kaya dan penderma Parti Buruh membeli pakaian mewah untuk isterinya, Victoria.
Perkara itu dilaporkan The Sunday Times pada Sabtu.
Menurut The Sunday Times, Starmer, yang berkuasa sejak Julai, menghadapi siasatan selepas "mengabaikan untuk mendedahkan" bahawa penderma Buruh utama, Waheed Alli, menanggung kos pembelian peribadi, pakaian dan pengubahan untuk isterinya.
Kepentingan kewangan berdaftar Perdana Menteri yang disenaraikan di laman web Parlimen menunjukkan beliau telah menerima beberapa sumbangan daripada Waheed, termasuk beberapa pasang cermin mata, pakaian kerja dan penginapan.
The Sunday Times berkata, derma itu diisytiharkan tetapi pakaian yang diberikan kepada isterinya tidak diisytiharkan.
Jurucakap 10 Downing Street berkata, Starmer dan pasukannya telah mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa untuk datang ke pejabat dan percaya mereka telah mematuhi undang-undang.
Bagaimanapun jurucakap itu berkata, soal siasat tetap akan dijalankan bulan ini.
Waheed ialah usahawan media British dan bekas pengerusi peruncit fesyen dalam talian ASOS.
Di bawah tatakelola Dewan Rakyat, Ahli Parlimen perlu memberikan maklumat tentang kepentingan kewangan yang mungkin secara munasabah dianggap mempengaruhi kerja mereka.
Jurucakap Parti Konservatif menggesa siasatan penuh berhubung "pelanggaran serius peraturan Parlimen".
#Keir Starmer #pakaian mewah #Victoria #Waheed Alli
;