Derita 4 hari tersepit celah batu
Astro Awani
Ogos 9, 2019 07:30 MYT
Ogos 9, 2019 07:30 MYT
Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selama empat hari selepas gagal keluar akibat badannya tersepit antara celahan batu di dalam sebuah gua di Cakrai, Kemboja.
Menurut laporan media tempatan, kejadian itu berlaku pada Ahad lalu apabila lelaki itu, Sum Bora, cuba mengambil lampu suluhnya yang terjatuh di celah batu tersebut.
Malangnya dia tergelincir seterusnya terperosok di celah batu itu dan gagal meloloskan dirinya daripada terperangkap.
Dia bagaimanapun gagal meminta bantuan kerana tiada orang yang menyedari insiden berkenaan ditambah pula lokasinya yang terpencil.
Lelaki berusia 28 tahun itu terpaksa menahan lapar dan dahaga sehinggalah akhirnya ia disedari oleh rakannya yang selalu bersamanya memasuki gua tersebut pada Selasa.
Begitupun, rakannya juga tidak mampu mengeluarkan mangsa dari celah batu tersebut kerana keadaan yang terbatas dan sempit.
Rakannya itu kemudiannya meminta bantuan untuk mengeluarkan Bora.
Bagaimanapun, ternyata ia bukanlah usaha yang mudah malah lebih 200 orang telah dikerahkan membantu termasuk pihak berkuasa yang dilengkapi peralatan khas.
Kerja menyelamatkan Bora memakan masa lebih 10 jam dan akhirnya dia berjaya dikeluarkan daripada celahan batu tersebut pada Rabu.
“Ada ketikanya saya sudah hilang harapan untuk hidup. Jikalau ada pisau bersama saya ketika itu, pasti saya akan membunuh diri saya kerana tidak tahan," kata Bora.