Dentuman kuat ibarat enjin jet iringi letusan gunung berapi Kilauea Hawaii

Agensi
Mei 13, 2018 12:16 MYT
Dari jauh, letusan gunung itu kedengaran seperti dentuman kuat serta bagaikan bunyi jet enjin pesawat ketika stim dan gas keluar, dicampur dengan bunyi limpahan lahar cair. - Foto Janice Wei/via REUTERS
Letusan gunung berapi Kilauea di Pulau Besar Hawaii memuntahkan lahar setinggi bangunan empat tingkat pada Sabtu, menyebabkan beberapa kawasan sekitarnya musnah teruk.
Ia susulan satu letupan besar dari gunung berapi itu kelmarin yang menandakan permulaan letusan lebih kuat dan ganas yang boleh menghamburkan batu dan debu sejauh beberapa kilometer dan mengakibatkan bandar-bandar berdekatan dilitupi abu vulkanik dan jerebu, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Kilauea yang merupakan gunung berapi paling aktif di Hawaii meletus pada Khamis lalu, manakala satu gempa bumi kuat menggegarkan kawahnya pada keesokan harinya.
BACA: 'Raksasa api' pemusnah 'syurga' terus mengganas
BACA: Gunung berapi Kilauea meletus
Aliran lahar daripada rekahan-rekahan tanah memusnahkan sekurang-kurangnya 36 kediaman dan bangunan lain dengan kira-kira 2,000 penduduk terpaksa berpindah.
USGS memberi amaran bahawa letusan lebih kuat dari kawah gunung berapi itu boleh berlaku pada pertengahan Mei ini yang akan menghamburkan batu-batu seberat beberapa tan pada jarak satu kilometer (km) dan bahan pepejal kecil sejauh beberapa km serta melitupi kawasan dalam radius 32km dengan abu.
“Ia betul-betul terjadi di rumah saya, agak menakutkan,” kata Haley Clinton, 17 tahun yang sempat melihat rekahan yang berlaku bersama bapanya, Darryl, dan adiknya Jolon, 15 tahun.
Dari jauh, letusan gunung itu kedengaran seperti dentuman kuat serta bagaikan bunyi enjin jet ketika stim dan gas keluar, dicampur dengan bunyi limpahan lahar cair.
Dalam masa beberapa jam selepas letusan, ketulan lahar merah-hitam mula kelihatan dimuntahkan setinggi 40 kaki dan sekurang-kurangnya 150 kaki panjang, manakala batuan magma turut dimuntahkan setinggi lebih 30 meter ke udara.
Tidak lama selepas letusan, pusat pemantau Observatori Volcano Hawaii USGS melaporkan aktiviti seismik kekal menaik di puncak Kilauea setinggi lebih 1,300 meter. USGS turut melaporkan gempa kecil berukuran 3.5 magnitude yang melada pulau itu pada Sabtu.
Ahli geologi memberi amaran pada Jumaat bahawa letusan yang didorong oleh stim dari kawah Halemaumau di puncak boleh memuntahkan abu tebal lebih 6.600 meter tinggi dan menyebarkan abu dan serpihan sehingga 19 km.
“Letusan kuat ini adalah yang pertama sebelum lebih banyak letusan serupa menyusul,” kata saintis USGS, Tina Neal mengenai letusan yang menghamburkan batu-batu kecil dari kawah gunung berapi itu.
#gunung berapi kilauea #Hawaii #laha #lavar #USGS
;