Denmark luluskan larangan pemakaian niqab
Agensi
Mei 31, 2018 07:30 MYT
Mei 31, 2018 07:30 MYT
DENMARK menjadi negara Eropah terkini melarang pemakaian niqab, berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Undang-undang itu diluluskan di Parlimen dengan 75 undian menyokong berbanding 30 menentang.
Mereka yang tidak mematuhi undang-undang itu berdepan hukuman denda AS$155 (RM617), dengan denda sepuluh kali ganda untuk kesalahan berulang.
Namun butiran larangan itu tidak menyebut wanita Islam secara spesifik. Sebaliknya ia cuma menggariskan larangan pemakaian kain penutup muka di kawasan awam.
Menteri Kehakiman Denmark, Soren Pape Paulsen menjelaskan rasional larangan itu adalah sejajar dengan nilai budaya mereka yang tidak mewajibkan penutupan muka, yang membolehkan sebarang komunikasi langsung dijalankan dengan melihat wajah masing-masing.
Amnesty International menyifatkan larangan itu sebagai diskriminasi ke atas hak wanita.
Mahkamah Hak Asasi Eropah tahun lalu mengekalkan larangan dilaksanakan pemakaian penutup muka di Belgium, atas alasan keharmonian beragama.
Perancis adalah negara Eropah pertama melaksanakan larangan pemakaian penutup muka di kawasan awam pada April 2011.
Langkah itu diikuti Belgium beberapa bulan kemudian.
Di beberapa negara seperti Austria, Bulgaria, dan negeri Bavaria, Jerman, larangan dilaksanakan mengikut kawasan dan bukan keseluruhan.
Sementara parlimen Belanda meluluskan larangan itu pada 2016, dan kini menanti kelulusan dewan tinggi untuk melaksanakannya.