Denmark dakwa berlaku kebocoran gas di Nord Stream

Bernama
September 29, 2022 14:24 MYT
Bottzauw mendakwa insiden itu mungkin berpunca daripada perbuatan sabotaj. - AP
LONDON: Pihak berkuasa Denmark pada Rabu mengesahkan berlaku kerosakan di saluran paip gas di Nord Stream 1 dan Nord Stream 2 .
Lembaga Tenaga Denmark menjangkakan aliran gas dari saluran paip berkenaan akan dihentikan pada Ahad.
"Berlaku kebocoran gas dan kami menjangkakan saluran paip itu akan dikosongkan pada Ahad," kata Pengarah Agensi Tenaga Denmark Kristoffer Bottzauw pada sidang media, lapor Agensi Anadolu.
Bottzauw mendakwa insiden itu mungkin berpunca daripada perbuatan "sabotaj".
Sementara itu Pengarah Urusan Kajian Geologi Denmark dan Greenland, Flemming Larsen berkata berlaku beberapa letupan di tempat kejadian.
"Menurut penilaian kami, ini perbuatan yang disengajakan," katanya.
Menurut pihak berkuasa Denmark, kebocoran gas itu tidak menimbulkan risiko kesihatan kepada penduduk, tetapi siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat kesan jangka panjang.
-- BERNAMA
#kebocoran gas #nord stream #Denmark #saluran paip
;