Denda atau penjara beri makan merpati di tempat awam
Bernama
September 21, 2018 05:50 MYT
September 21, 2018 05:50 MYT
Pengunjung ke Thailand perlu berwaspada kerana memberi makan burung merpati di tempat awam kini boleh menyebabkan mereka dilanda masalah besar berikutan langkah kerajaan memperketatkan peraturan melarang amalan itu ekoran kebimbangan yang memuncak berhubung masalah kesihatan dan populasi burung itu yang membiak dengan pantas.
Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didenda 25,000 Baht (kira-kira RM3,125) atau lebih buruk lagi, menjalani hukuman penjara tiga bulan.
Tindakan tegas terhadap perbuatan memberi makan merpati di tempat awam itu diambil selepas Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha mengeluarkan arahan pada Rabu, supaya Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) dan pihak berkuasa tempatan yang lain supaya menegah amalan itu.
"Perdana Menteri mengarahkan semua agensi supaya mencari kaedah untuk membersihkan kawasan berkenaan tetapi burung merpati itu tidak boleh diapa-apakan," menurut media tempatan yang memetik jurucakap kerajaan, Lt Jen Sansern Kaewkamnerd.
Orang ramai, kata beliau, tidak akan dibenarkan memberi makan burung di tempat awam sebagai satu cara untuk mengurangkan jumlah merpati di setiap lokasi, manakala pentadbiran di peringkat wilayah diminta menyediakan kawasan khas untuk memberi makan burung.
Para pegawai bimbang merpati itu mungkin menjadi pembawa penyakit dengan menyebarkannya menerusi najisnya, pada masa sama populasi burung itu yang pantas membiak telah mengakibatkan gangguan kepada orang ramai.
Media tempatan melaporkan para pegawai haiwan ternakan mula menangkap burung di Bangkok semalam, walaupun ketika orang ramai terus memberi makan kepada merpati disebabkan berita tentang arahan terkini itu belum tersebar luas.
Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang dilaporkan berkata bandar raya itu tidak mahu menguatkuasakan undang-undang berkenaan, sebaliknya hanya mengenakan hukuman yang tegas sebagai suatu amaran dan bertujuan mendidik.
"Kami hanya mahu menggunakan undang-undang ini untuk memberi amaran dan mendidik masyarakat," katanya, manakala pegawai dewan bandaraya pula bertegas bahawa cara terbaik untuk mengawal populasi merpati ini adalah dengan tidak memberi makan kepada burung itu.
Arahan turut dikeluarkan kepada 50 daerah di Bangkok supaya mencari jalan untuk mengurangkan populasi merpati di kawasan masing-masing.
-- BERNAMA
#Bangkok
#burung
#denda
#kerajaan
#makanan
#merpati
#penyakit
#Perdana Menteri
#tahi burung
#Thailand
#undang-undang