Demografi Malaysia pacu potensi eksport Ireland - Menteri Ireland

Bernama
November 8, 2023 19:48 MYT
Heydon kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia. - Gambar/ X Martin Heydon
KUALA LUMPUR: Demografi Malaysia yang terus berubah menawarkan potensi besar bagi Ireland untuk meningkatkan nilai eksportnya ke Malaysia secara am dan rantau Asia Tenggara khususnya, kata seorang Menteri Ireland.
Martin Heydon yang memegang portfolio Penyelidikan dan Pembangunan, Keselamatan Pertanian dan Pembangunan Pasaran Baharu Ireland berkata permintaan bagi produk tenusu yang kaya dengan nutrisi semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan penduduk yang semakin berusia di Malaysia.
Beliau yang kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia berkata bahawa Ireland berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan ini.
"Ketika demografi Malaysia semakin berubah, permintaan bagi produk pemakanan dewasa turut meningkat. Keadaan ini berpotensi memacu pertumbuhan dalam nilai eksport Ireland ke rantau (Asia Tenggara)," kata Heydon semasa temu bual eksklusif dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa BERNAMA di sini pada Selasa.
Produk tenusu telah menjadi komponen utama eksport Ireland ke Malaysia. Pada 2022, Ireland mengeksport produk tenusu bernilai EUR60 juta ke Malaysia (EUR1=RM4.98), menyaksikan penurunan kecil sebanyak empat peratus berbanding EUR62 juta pada 2021.
Bidang pertumbuhan yang ketara dalam sektor tenusu termasuk kasein dan mentega, dengan nilai eksport menyaksikan peningkatan ketara masing-masing sebanyak 168 peratus dan 47 peratus.
Pengilang utama Ireland seperti Tirlan, Lakeland, Ornua, Kerry, Carbery, Dairygold dan Tipperary telah bertapak kukuh di pasaran Malaysia melalui perkongsian dengan pengimport tempatan.
Pada 2022, eksport minuman Ireland ke Malaysia melonjak kepada EUR1.8 juta, menandakan peningkatan 87 peratus berbanding EUR1 juta pada 2021. Selain itu, eksport makanan laut Ireland ke Malaysia berjumlah EUR804,838 pada 2022 - lonjakan ketara sebanyak 152.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Eksport Ireland pada 2022 ke Asia melebihi EUR1.4 bilion dengan Asia Tenggara menyumbang lebih EUR394 juta kepada angka ini, yang mewakili 27 peratus daripada prestasi keseluruhan Asia.
Commenting on the 2023 trade mission launched by Bord Bia, the Irish Food Board, Minister Heydon stated that this marks the fifth trade mission to South East Asia, focusing on key markets in Malaysia and the Philippines.
Mengulas mengenai misi perdagangan 2023 yang dilancarkan oleh Bord Bia, iaitu Lembaga Makanan Ireland, Heydon berkata bahawa ini merupakan misi perdagangan kelima ke Asia Tenggara yang memberi tumpuan kepada pasaran utama di Malaysia dan Filipina.
Misi ini bertujuan untuk meningkatkan reputasi Ireland dalam menyediakan makanan dan minuman yang mampan, selamat dan berkualiti tinggi di rantau ini.
"Misi Perdagangan ini akan meningkatkan kesedaran terhadap sistem pengeluaran makanan mampan Ireland dan komitmen kami bagi menyokong hubungan perniagaan-ke-perniagaan yang boleh membawa perubahan sebenar kepada pengeksport makanan dan minuman Ireland.
"Saya berharap untuk terus membina hubungan kukuh antara kedua-dua kerajaan semasa pertemuan saya dengan rakan sejawat saya di Malaysia dan mempromosikan tawaran makanan berkualiti tinggi Ireland dalam pasaran yang penting ini," kata menteri itu, yang turut bertemu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Sabu.
-- BERNAMA
#Ireland #Malaysia #pasaran eksport #Martin Heydon
;