Demi makhluk unik... Australia bina santuari platypus pertama di dunia

Agensi
Mac 7, 2021 14:04 MYT
Platypus bernama Annie dilihat semasa pengumuman Hari Hidupan Liar Sedunia di Taronga Zoo, Sydney. - Reuters
SYDNEY: Ahli konservasi Australia mengumumkan perancangan untuk membina santuari atau tempat perlindungan pertama di dunia untuk platypus.
Langkah itu bagi mempromosi pembiakan dan pemulihan kerana mamalia unik berkenaan kini berdepan kepupusan akibat perubahan iklim.
Taronga Conservation Society Australia dan kerajaan negeri New South Wales akan membina fasiliti berkelas dunia di zoo itu, yang terletak 391 kilometer dari pusat bandar Sydney.
Dijangka siap pada tahun 2022, ia akan dapat menampung sehingga 65 ekor platypus.
"Fasiliti ini sangat penting untuk kita membuat lebih kajian dan memastikan ia tidak pupus," kata Ketua Pegawai Eksekutif Taronga, Cameron Kerr.
Kegusaran tentang nasib platypus meningkat sejak kebakaran yang memusnahkan 12.6 juta hektar (31 juta ekar) hutan pada akhir 2019 dan awal 2020.
Para saintis menganggarkan hampir tiga bilion haiwan mati dalam kebakaran itu, yang dipercayai berpunca daripada cuaca panas.
Platypus jarang dilihat di hutan kerana sifatnya yang suka bersembunyi dan keperluan habitat yang sangat spesifik.
Haiwan itu, yang merupakan salah satu spesies yang dilindungi di Australia, merupakan salah satu daripada dua jenis mamalia bertelur, dan kebiasaannya ditemui tinggal di sekitar sungai yang bergerak perlahan dalam suhu yang lebih sejuk.
Satu lagi ciri jelas pada platypus adalah pada paruhnya yang seperti itik. Secara ringkas, platypus adalah mamalia berdarah panas yang mempunyai paruh sudu seperti itik, bertelur, dan menyusukan anaknya apabila ia sudah menetas. Ia juga memiliki ekor yang berbentuk pipih seperti dayung dan hujung kaki yang berselaput untuk memudahkan pergerakannya di dalam air.
Selain daripada platypus, mamalia lain yang bertelur adalah echidna.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Australia #kebakaran #hutan #zoo #Kepupusan #platypus #haiwan #hidupan liar #haiwan terlindung #shm #weekender
;